-    +  
Adjust font size:
DUN Manir: Calon BN berhak rayu
Jul 10, 08 1:05pm

Mahkamah Persekutuan di Putrajaya memutuskan hari ini ia bahawa calon Barisan Nasional (BN), Wan Sagar Wan Embong yang tewas kerusi Dewan Undangan Negeri Manir kepada calon PAS Harun Taib dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, berhak merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak petisyennya.

Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu sebelum ini, telah menolak petisyennya bagi mencabar keputusan pilihanraya umum ke-12 yang memberikan kemenangan kepada calon PAS itu, dengan majoriti 406 undi.

Pada 25 Mei lalu, Hakim Datuk Kang Hwee Gee yang bertindak sebagai Hakim pilihanraya membatalkan petisyen Wan Sagar selepas membenarkan bantahan awal oleh Harun atas alasan petisyen berkenaan gagal menyertakan butiran fakta seperti yang dikehendaki oleh Peraturan 4(1)(b) Akta Kesalahan Pilihanraya.

Wan Sagar memfailkan petisyen itu pada 28 April lalu bagi mencabar kemenangan PAS atas dakwaan salah laku penyokong pembangkang itu ketika pilihanraya umum lalu.

Beliau menamakan Harun, pegawai pengurus pilihanraya DUN Manir dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebagai responden.

Wan Sagar meminta mahkamah bertindak terhadap dakwaan salah laku para penyokong dan aktivis PAS yang antara lain menghalang pengundi membuang undi, merampas kad pengenalan pengundi dan menakutkan mereka daripada keluar mengundi.

Calon BN berhak merayu

Hari ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan Wan Sagar berhak merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung bantahan awal yang dikemukakan dalam kes itu.

Semasa menyampaikan keputusan penting itu, Hakim Besar Malaya Tan Sri Alaudin Mohamed Sheriff, dalam penghakiman setebal 20 muka surat, berkata Wan Sagar berhak merayu mengikut Seksyen 36A, Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihanraya 1954.

Oleh itu, Bernama memetik Hakim Alaudin, yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Arifin Zakaria dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, sebagai berkata
bantahan awal oleh Datuk Harun Taib dari PAS ditolak dengan kos.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Julai untuk mendengar merit petisyen Wan Sagar yang memohon bagi dibatalkan keputusan pilihanraya bagi kerusi itu yang dimenangi Harun dengan majoriti 406 undi pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.


Advertisement

Diy Day Banner

Advertise here ( RM10/day )

Advertise here ( RM10/day )

Diy Day Banner