Naib Presiden Gerakan, Datuk Dr S Vijayaratnam menyifatkan keputusan ketua pembangkang untuk memfailkan undi tidak percaya terhadap perdana menteri sebagai satu pembaziran masa Dewan Rakyat dan wang pembayar cukai.
Naib Presiden Gerakan, Datuk Dr S Vijayaratnam berkata, memang tidak dapat dinafikan bahawa negara sedang menghadapi masalah, termasuk kenaikan harga minyak, inflasi dan ekonomi yang tidak menentu.
"Tetapi semua ini bukan perbuatan kita. Harga minyak mentah dunia adalah di luar kawalan kerajaan.
"Hujah bahawa kita pengeluar minyak dan pengeksport bersih minyak, maka kita perlu memastikan harganya rendah, tidak boleh dipakai dan merupakan satu pandangan yang singkat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, simpanan minyak Malaysia bukan tidak hadnya dan sudah tiba masanya untuk mempelbagai dan melabur pendapatan Petronas untuk generasi akan datang.
Begitu juga dengan inflasi ekoran kenaikan harga minyak, katanya, tetapi kadarnya masih merupakan antara yang terendah di rantau ini.
"Prestasi pasaran saham antarabangsa, termasuk Dow Jones, Nekkei, Hang Seng dan bursa-bursa saham di Asia, pada umumnya, mencerminkan turun-naik di Bursa Malaysia," tambahnya.
Pembangkang diminta proaktif
Oleh itu, katanya, adalah tidak adil untuk terus menerus menyalahkan kerajaan bagi masalah-masalah tersebut.
"Apa yang berlaku adalah semata-mata politiking. Adalah lebih produktif bagi pembangkang bekerjasama dengan kerajaan dan menawarkan penyelesaian bagi mengatasi masalah negara," tambahnya.
Katanya, ini kerana pembangkang juga tidak kekurangan pakar-pakar ekonomi yang perkhidmatan mereka boleh dimanfaatkan untuk membantu negara menghadapi keadaan yang mencabar sekarang.
Malah, katanya, adalah amat malang sekali apabila begitu banyak masa dan sensasi ditumpukan kepada perkara-perkara seperti liwat, kes-kes mahkamah, akuan berkanun, aksi lucah di konsert-konsert rock dan isu skirt yang boleh dipakai di Parlimen, semata-mata untuk bersaing antara satu sama lain.
Sedangkan, tambah Vijayaratnam, terdapat lebih banyak lagi isu-isu penting yang perlu ditangani dengan segera.
Persepsi dari semua ini, katanya, terutama di kalangan masyarakat antarabangsa adalah jauh daripada menggalakkan, dan tidak banyak membantu menarik pelaburan, menjadikan negara destinasi pelancong dan mencermin kestabilan.
No. 48, Jalan Kemuja, Bangsar Utama 59000 Kuala Lumpur, Malaysia.
Tel: 03-2284 3367 (Advertising/Tech/Subscription) | 03-2283 5567 (Editorial) Malaysiakini.com is not responsible for the content of external internet sites