|
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau sebagai pemimpin yang lemah dan tidak berpendirian adalah pandangan peribadi bekas perdana menteri itu. Timbalan Perdana Menteri berkata walau apa sekalipun kenyataan yang dibuat, beliau mempunyai rekod yang cemerlang dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat. "Tengok track rekod saya...saya bukan belakangkan kepentingan rakyat," katanya kepada pemberita hari ini. Sebelum itu Najib mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno Bahagian dan Badan Perhubungan Umno negeri Kedah di Alor Star, demikian menurut laporan Bernama. Najib berkata pelan peralihan kuasa antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan beliau sebenarnya adalah keputusan yang diterima oleh Majlis Tertinggi Umno.
"Ini bukan keputusan antara saya dengan Pak Lah tetapi ini pelan yang diterima oleh MT," katanya.
Najib berkata sebagai pemimpin parti, sesuatu yang hendak dilakukan biarlah yang terbaik untuk parti dan negara. "Kita harus meletakkan kepercayaan dalam kepimpinan masa depan parti dan (peralihan kuasa itu) diwujudkan supaya (kepimpinan) teratur dan tersusun", katanya. Dr Mahathir baru-baru ini berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai peluang mengalahkan Najib untuk jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti Disember ini kerana kini wujud tanggapan umum yang melihat Najib sebagai seorang pemimpin yang lemah dan tidak pernah mempunyai pendirian sendiri. I |