Tindakan bekas Timbalan Ketua Wanita MCA Datin Paduka Dr Tan Yee Kew keluar parti berkuatkuasa hari ini bukan satu kehilangan besar dan tidak akan menjejaskan parti itu yang kini dalam proses pencergasan semula.
Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata sebagai sebuah parti yang besar, tindakan anggotanya keluar masuk parti adalah perkara biasa, malah parti itu juga mempunyai kuasa memilih anggota yang baru.
"MCA satu parti yang lama, sudah 59 tahun, saya rasa mekanisme kita (parti) membolehkan kita melatih bakat yang baru untuk mengambil alih kepimpinan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri previu Festival Antarabangsa Landskap dan Taman Malaysia 2008 di Taman Tasik Perdana semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Tan keluar parti berkuatkuasa serta merta hari ini atas alasan MCA bukan lagi satu wadah berkesan untuk membela nasib rakyat dan negara, demikian menurut laporan Bernama.
Ong yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata anggota parti yang ikhlas berjuang untuk parti akan sentiasa menghargai jasa parti selama ini.
Mengenai dakwaan Tan bahawa MCA bukan lagi satu wadah yang yang berkesan untuk membela nasib rakyat dan negara, Ong berkata dakwaan itu tidak berasas. 'Ombak bergelora'
"Jangan keluar dari parti dengan melemparkan tohmahan dan kritikan yang tidak bertanggungjawab terhadap parti. Ini bukan satu moral yang harus kita (anggota parti) amalkan," katanya yang mengibaratkan MCA bagai sebuah kapal di lautan yang kadang kala tenang dan kadang kala dipukul ombak.
"Dalam keadaan tenang semua orang senang dan gembira (tetapi semasa) dalam keadaan ombak bergelora ada orang lompat daripada kapal. Ini bukan satu sikap yang betul.
"(Begitu juga dengan politik) kita harus bersama-sama (usaha) tenangkan keadaan dan akhirnya parti belayar dalam keadaan yang tenang.
"Dalam dunia ini mana-mana parti ada naik dan turunnya. Kita tidak boleh menyertainya (parti) dalam keadaan baik dan tinggal dalam susah, ini akan memungkiri tujuan asal kita sertai parti," katanya.
Ong menyeru semua anggota MCA supaya bersatu padu untuk menghadapi cabaran politik masa ini, dan menganggap perkara itu satu ujian terhadap pegangan dan prinsip perjuangan parti.
Setiausaha Agung Pemuda MCA Wee Ka Siong pula melahirkan rasa terkejut dan kecewa dengan tindakan Tan.
"Bertahun-tahun lamanya, kepimpinan MCA memberikan banyak peluang kepadanya untuk berkhidmat kepada parti, serta dalam kerajaan. Saya percaya beliau ialah anggota parti yang memegang jawatan paling tinggi yang pernah keluar MCA," kata Wee, yang juga Timbalan Menteri Pelajaran kepada Bernama ketika ditemui di lobi Parlimen semalam.
Wadah baru
Ketua Wanita MCA Datuk Dr Ng Yen Yen berkata tindakan Tan berbentuk peribadi dan parti berpegang kepada prinsip demokrasi iaitu setiap anggota berhak membuat keputusan sendiri.
"Saya ucapkan selamat maju jaya dalam kerjaya politiknya di masa depan," kata Ng yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Sementara itu, Naib Presiden MCA Datuk Ong Tee Keat dalam SMS kepada Bernama berharap Tan akan berjaya dalam perjuangan "politiknya menerusi wadah baru dan bukan sekadar menjadikannya (MCA bukan lagi wadah berkesan) sebagai justifikasi untuk keluar MCA."
Tee Keat, yang juga Ketua MCA Selangor berkata secara peribadi beliau kasihankan Tan kerana tidak ditawarkan sebarang jawatan selepas tidak dipilih bertanding kerusi Parlimen pada pilihanraya umum Mac lalu.
Beliau sedang berada di London bagi menghadiri Pameran Udara Farnborough.
No. 48, Jalan Kemuja, Bangsar Utama 59000 Kuala Lumpur, Malaysia.
Tel: 03-2284 3367 (Advertising/Tech/Subscription) | 03-2283 5567 (Editorial) Malaysiakini.com is not responsible for the content of external internet sites