|
Naib Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti Oktober depan.
Jawatan presiden dan timbalan presiden telah dikosongkan oleh Datuk Seri Ong Ka Ting dan Datuk Chan Kong Choy.
Menteri Pengangkutan itu berkata, beliau mahu bertanding jawatan tertinggi parti itu kerana berlaku kekosongan.
Jika tidak, katanya, beliau tidak akan berbuat demikian.
"Memandangkan penyandangnya tidak akan mempertahan jawatan tersebut, maka saya menawarkan diri untuk bertanding," katanya di Serdang malam tadi. Sebelum itu, beliau menghadiri majlis perlantikan jawatan Persekutuan Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan di Seri Kembangan. Beliau juga menafikan telah mengadakan 'pertemuan rahsia' dengan Ka Ting untuk membincangkan calon bagi jawatan presiden.
Sebaliknya kata beliau, tiada calon yang telah ditetapkan untuk jawatan tersebut atau keputusan dalaman dibuat mengenai pengganti presiden. Selain Tee Kiat, dua lagi naib presiden MCA ialah bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Fong chan Onn dan bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Donald Lim Siang Chai. |