Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membuat pengumuman mengenai pilihanraya kecil bagi kerusi Parlimen yang ditandinginya malam ini.

Menurut Naib Presiden PKR, Azmin Ali, Anwar dijangka membuat pengumum tersebut dalam ceramahnya di Pahang malam ini.

Menurut jadual, mantan perdana menteri itu akan menghadiri ceramah perdana di Kampung Razali, Kuantan pada jam 9 malam.

Azmin memberitahu demikian ketika berucap kepada kira-kira 250 ahli dan penyokong PKR di ibupejabat parti itu di Tropicana, Petaling Jaya petang tadi.

Selepas itu mereka mendengar ucapan daripada Anwar sejurus selepas beliau selesai memberi taklimat secara tertutup kepada ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) PKR.

Kini semua pihak ternanti-nanti pengumuman Anwar mengenai kerusi Parlimen yang akan ditandinginya untuk membolehkan beliau bersuara di Dewan Rakyat.

Ianya ekoran pengumuman beliau sebelum ini bahawa kira-kira 30 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan melompat parti, dan sekaligus membolehkan Pakatan Rakyat menguasai kerajaan pusat.

Beliau menegaskan, mereka akan berbuat demikian menjelang 16 September depan.

Dalam pilihanraya umum lalu, BN kembali memerintah di peringkat pusat apabila memenangi 140 kerusi Parlimen tetapi kurang lapan kerusi untuk mengekalkan penguasaan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Manakala Pakatan Rakyat pula berjaya memenangi 82 kerusi Parlimen.

Sebelum ini, timbul ura-ura Anwar akan bertanding di Parlimen Kuala Kangsar kerana ramai yang menyangka mahkamah akan menerima petisyen calon PAS untuk membatalkan keputusan pilihanraya bagi kerusi tersebut yang dimenangi oleh ketua Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz, tetapi mahkamah menolaknya.

Kini timbulkan spekulasi yang Anwar mungkin bertanding di kerusi Kulim-Bandar Baru jiika berlaku pilihanraya kecil. Mahkamah Tinggi Alor Star akan mendengar Ahad ini, petisyen calon BN, yang memohon untuk membatalkan keputusan pilihanraya kerusi tersebut yang dimenangi calon PKR, Zulkifli Noordin.

Calon BN, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir Petisyen memfailkan petisyen tersebut atas alasan Zulkifli gagal mengemukakan kenyataan perbelanjaannya sewaktu kempen pilihanraya umum 2004.

Selepas menjalani hukuman penjara selepas disabitkan atas kesalahan salahguna kuasa, Anwar dilarang aktif dalam politik selama lima tahun sehingga 14 April lalu. Berikutan itu beliau tidak layak bertanding dalam pilihanraya umum pada 8 Mac lalu.

ADS