-    +  
Adjust font size:
Shafie: Tanding naib presiden muktamad
Muda Mohd Noor | Jul 22, 08 3:33pm

Timbalan ketua badan perhubungan Umno Sabah, Datuk Shafie Apdal menegaskan bahawa keputusan beliau untuk bertanding jawatan naib presiden Umno Disember depan adalah muktamad.

shafie apdalKatanya, beliau tidak akan mengubah pendirian dan menarik diri walaupun jika Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman juga mahu bertanding bertanding tersebut.

"Saya tidak terikat dengan keputusan sama ada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman bertanding jawatan tersebut...itu hak dia.

"Di Johor ada empat orang hendak bertanding naib presiden, tiada masalah. Saya sudah tawar diri, tak kan saya hendak tarik diri pula," katanya kepada pemberita di ibunegara hari ini, selepas merasmikan kongres majlis arkib antarabangsa ke-16.

Empat tokoh Umno Johor itu ialah Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussein; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan penyandang jawatan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengesahkan akan mempertahankan jawatan naib presiden. Manakala Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib hari ini turut menawarkan diri bagi jawatan tersebut.

Yang lain yang berminat bertanding ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Luar, Datuk Seri Rais Yatim dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Yakin dapat sokongan

Shafie yang juga menteri perpaduan, kebudayaan, kesenian dan warisan berkata, beliau yakin akan mendapat sokongan dari bahagian-bahagian Umno Sabah.

Katanya, beliau juga percaya akan mendapat sokongan di negeri lain berdasarkan kejayaannya menjadi ahli majlis tertinggi (MT) Umno selama empat penggal.

umno jumlah cawangan bahagian ahli 180607"Tentulah saya mendapat sokongan kerana saya sudah empat penggal menjadi MT.

Sabah mempunyai 25 bahagian, kedua terbanyak selepas Johor 26 bahagian, Perak (24) dan Selangor (22).

 "Tetapi saya kena kerja dan berkempen kerana tidak bermakna tawarannya bertanding itu akan diterima orang," katanya lagi.

Shafie berkata,  beliau sudah mula berkempen termasuk merayu kepada ketua bahagian Umno mengenai keputusannya bertanding itu.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan strategi kempennya.

Mengenai politik wang, beliau berkata, calon-calon perlu mematuhi etika yang telah digariskan oleh parti semasa berkempen.

Mesyuarat Umno cawangan bermula Khamis lalu, manakala mesyuarat bahagian akan bermula September depan sebelum perhimpunan agung pada bulan Disember.



Advertisement

Diy Day Banner

Advertise here ( RM10/day )

Advertise here ( RM10/day )

Diy Day Banner