Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini memulakan siasatan awam terhadap dakwaan polis menggunakan kekerasan yang berlebihan ke atas penduduk sewaktu berlaku kekecohan di Bandar Mahkota Cheras (BMC).
Saksi utama dalam insiden tersebut, Chang Jiun Haur, adalah yang pertama memberi keterangan. Dengan dibantu oleh seorang jurubahasa, pemuda berusia 23 tahun itu, menceritakan mengenai kejadian yang menimpanya dalam bahasa Kantonis.
Chang memberitahu Suhakam bahawa dia, anak perempuannya serta dua orang rakannya sedang menaiki kenderaan di Persiaran Mahkota Cheras 1 pada jam 11.30 malam apabila mereka terperangkap dalam kesesakan lalulintas.
"Terdapat kereta di depan dan di belakang kereta kami," katanya.
"Tetapi bila kami melihat ada sekatan dan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di depan, kami cuba berpatah balik."
Ditanya berapa laju dia memandu ketika itu, Chang berkata: "Kira-kira 30kmsj kerana ada kereta di depan kami."
"Bagaimanapun, bila kereta kami diberhentikan ketika hendak membuat pusingan-u, anggota FRU menahan kereta kami dan menyepak dan memukul kereta kami dengan cota," katanya.
'Tarik keluar dan pukul saya'
Terperanjat dengan apa yang berlaku, Chang mengunci pintu kereta. Bagaimanapun, anggota FRU didakwa memecahkan cermin pintu kereta di sebelah tempat duduknya dan terus membuka pintunya.
Dia dikatakan diheret keluar dari keretanya, disepak dan dipukul oleh kira-kira tujuh hingga 10 anggota FRU.
Menjawab soalan, mekanik itu berkata dia tidak tahu mengapa dia dibelasah.
"Malah, tidak ada amaran langsung. Mereka terus tarik saya keluar dan memukul saya," dakwanya.
Chang juga berkata, keretanya tidak bergerak ketika itu.
"Enjinnya masih hidup tetapi tidak masuk gear. Bila mereka membuka pintu kereta, mereka mematikan enjin dan merentap kunci," katanya.
Ditanya sama ada dia cuba untuk bangun selepas kejadian tersebut, Chang kata dia tidak berapa pasti.
"Saya hanya sedar kembali ketika berada di Hospital Kajang. Saya telah melihat video kejadian tersebut dan saya melihat diri saya berjalan tetapi tidak dapat mengingatinya dengan baik," tambahnya.
Adik cuba halang 'dipukul'
Selepas berihat sekejap, adik perempuan Chang pula dipanggil memberi keterangan mengenai kejadian tersebut.
Saya tidak dipukul tetapi seorang anggota FRU yang membuka pintu sebelah saya, dan menerpa masuk untuk memukul abang saya di bahagian tangannya dengan cota," kata Jiun Mein.
"Selepas itu, saya diarah keluar dari kereta dan dibawa oleh seorang anggota FRU wanita ke tepi (jauhnya 10 meter) di mana melihat abang saya sedang dibelasah," kata pelajar berusia 20 tahun itu.
Dia berkata abangnya tidak meronta atau melawan ketika dibelasah.
Dan dia merayu kepada anggota FRU wanita yang menjaganya supaya meminta anggota FRU lain berhenti memukul abangnya,
Juin Mein berkata, anggota wanita itu tidak berbuat demikian.
Ditanya sama ada dia melihat berapa kali anggota FRU memukul abangnya, Juin Mein berkata dia tidak dapat memberitahu kerana muka abangnya berlumuran darah.
Selepas dibelasah, Jiun Mein berkata, mereka dibawa dari situ melewati benteng di situ ke arah jambatan di bawah jejambat Cheras-Kajang.
Dibawa ke balai polis
Dia berkata, abangnya dibantu oleh rakan mereka, Chan Siew Meng, sambil menambah, Chang terjatuh ketika cuba memanjat benteng setinggi empat kaki itu.
Selepas itu, keempat-empat mereka dibawa ke balai polis kajang dalam 'Black Maria'. Di balai polis, dia dibenarkan menelefon ibubapanya.
Ketika itu, Chang telah dibawa ke hospital. Lima belas minit kemudiannya, seorang ahli dewan undangan negeri (tidak dikenalpasti) datang ke balai polis dan berkeras supaya Siew Meng, yang juga didakwa dipukul, dibawa ke hospital untuk pemeriksaan doktor.
Ditanya sama ada dia ingat yang mereka telah ditangkap, Jiun Mein berkata: "Ya! walaupun saya tidak digari, yang tiga lagi digari. Malah ketika berada di balai polis, abang saya dan rakan-rakannya masih lagi digari."
Dua belas saksi dijadual dipanggil hari ini. Suhakam dijangka memanggil 22 saksi untuk memberi keterangan dalam siasatan hari ini dan esok.
Antara saksi tersebut ialah wartawan Malaysiakini, Syed Jamal Zahiid dan Lee Weng Kiat, dan juruvideo, Ng Kok Foong.
Bidang tugas panel tersebut ialah:
Sama ada terdapat anggota penguatkuasa undang-undang, ketika menjalankan tugas menguatkuasa undang-undang, telah menggunakan kekerasan yang berlebihan.
Jika berlaku kekerasan berlebihan, apakah berlaku pelanggaran hak asasi manusia terhadap orang atau orang-orang, dan siapakah yang bertanggungjawab melakukannya.
Mengesyorkan apakah tindakan yang akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab melanggar hak asasi manusia itu.