Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan memperuntukkan RM700 juta kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berdaya maju yang menghadapi masalah kewangan akibat kenaikan kos, kata perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Kerajaan juga, melalui Bank Negara Malaysia, memperuntukkan RM500 juta untuk menubuhkan kemudahan pemodenan PKS untuk memodenkan operasi atau membeli peralatan penjimatan tenaga.

Bawah kemudahan ini, Abdullah menambah, PKS boleh mendapatkan pembiayaan pada kadar empat peratus setahun daripada bank perdagangan dan juga Bank Islam, SME Bank, Bank Rakyat dan AgroBank.

Dua peruntukan berjumlah RM1.2 bilion itu akan dilaksanakan mulai 1 Ogos, tambahnya ketika berucap melancarkan Laporan Tahunan PKS 2007 dan pengumuman langkah-langkah khas PKS di bank pusat itu, hari ini.

"Matlamat langkah-langkah ini adalah untuk membantu PKS yang menghadapi kesukaran dalam masa yang mencabar ini, untuk menggalakkan PKS mempertingkat dan memperkukuh keupayaan mereka bagi menambah kecekapan dan produktiviti; lantas mengurangkan kos operasi mereka," katanya.

Langkah-langkah lain yang diperkenalkan termasuklah bantuan penyusunan semula pinjaman PKS, penyediaan khidmat nasihat berkaitan pengurusan kos secara efektif, serta insentif melaksanakan inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan tenaga yang cekap.

Menyentuh perkembangan PKS tahun lalu, Abdullah berkata, lebih 286,000 PKS mendapat manfaat daripada pelaksanaan 189 program pembangunan melalui 14 kementerian dan agensi berkaitan yang melibatkan perbelanjaan hampir RM5 bilion.

Untuk memajukan lagi industri itu, peranan sekretariat Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan bawah Bank Negara diserahkan kepada Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC), juga berkuatkuasa 1 Ogos.

Perbadanan ini kemudian akan dikenali sebagai SME Corporation Malaysia (SME Corp).

Tahun lalu, kata Abdullah, institusi perbankan dan kewangan meluluskan sebanyak RM63.2 bilion kepada lebih 132,000 akaun PKS.

Jumlah itu jauh melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu RM51 bilion kepada 110,00 akaun PKS.

Setakat akhir Mac tahun ini, jumlah pembiayaan terkumpul PKS yang disediakan oleh institusi kewangan berjumlah RM132.4 bilion, mencakupi 44.3 peratus daripada jumlah pembiayaan perniagaan terkumpul.

Beliau juga menjelaskan, lebih 26,000 perusahaan mikro telah mendapat manfaat daripada kemudahan pembiayaan mikro sebanyak RM271 juta.

Bank Negara menjelaskan, penubuhan agensi PKS yang khusus merupakan penambahbaikan struktur yang sangat penting dalam agenda pembangunan industri yang bermatlamat membangunkan PKS yang berdaya saing dan berdaya tahan.

Sejak 2004, fungsi SMIDEC dijalankan oleh bank pusat itu.

Turut hadir, timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri Datuk Jacob Dungai Sagan dan pengerusi SMIDEC Datuk Ir Mohamed Al Amin Abdul Majid.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS