Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli dan penyokong PAS membantah muzakarah antara parti itu dengan Umno kerana mereka tidak mendapat maklumat sebenar mengenainya, kata ahli parlimen Pasir Mas.

Datuk Ibrahim Ali berkata, berikutan itu, mereka menjadi takut apabila pemimpin mereka bertemu pemimpin Umno.

"Atau mungkin juga kerana PAS sudah menjadi sebuah parti yang besar sehingga menyebabkan ahli dan penyokongnya tidak mahu lagi parti mereka berbincang dengan Umno.

"Masalah ini yang sedang berlaku dalam kalangan akar umbi PAS kerana mereka tidak tahu perkara sebenar mengenai muzakarah tersebut," katanya, ketika diminta mengulas bantahan sesetengah pihak dalam PAS mengenai isu muzakarah PAS-Umno.

Selain kenyataan mursyidul amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menggesa muzakarah tersebut dihentikan segera, sekumpulan ahli dan penyokong PAS mengugut untuk mengadakan demonstrasi di depan ibu pejabatnya di Jalan Raja Laut, esok.

Selepas pertemuan majlis syura ulama di Kota Bharu semalam, yang membuat penegasan PAS masih setia bersama Pakatan Rakyat dan menolak rundingan kongsi kuasa dengan Umno, sumber-sumber parti itu yang ingin menganjurkan demonstrasi menganggap "Nik Abdul Aziz telah diberikan maklumat salah" dalam mesyuarat sejam itu.

Malaysiakini hari ini difahamkan perhimpunan menyokong Nik Abdul Aziz dan membantah muzakarah dibatalkan selepas keputusan majlis tersebut.

Ibrahim berkata, apa yang perlu difahami ialah, muzakarah bukanlah bermakna PAS setuju dengan apa yang Umno putuskan.

"Kita perlu bersikap terbuka dan tanpa mempunyai syak wasangka terhadap muzakarah tersebut.

"Adalah lebih baik bertemu daripada tidak bertemu langsung," kata bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu lagi.

Tambahnya, apabila orang Melayu sudah bersatu, secara tidak langsung ia akan menghasilkan kuasa dan kekuatan kepada mereka.

Pertemuan dan perbincangan, katanya lagi, merupakan budaya Melayu dan Islam.

Nik Abdul Aziz bersama presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalan mursyidul am Datuk Dr Harun Din dilaporkan sepakat menyatakan PAS tetap komited dengan kerjasamanya bersama PKR dan DAP.

Mereka menyifatkan dialog beberapa pemimpin PAS, yang diketuai timbalan presidennya Nasharuddin Mat Isa, dengan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai "muqabalah" (pertemuan bersemuka) - dan bukan "muzakarah" (dialog) - untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di kalangan rakyat di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

ADS