Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Melayu-fobia: SMM jawab PKPIM
Diterbitkan:  Jul 24, 2008 5:27 PM
Dikemaskini: 1:08 PM

Setelah dilabel "Melayu-fobia" oleh rakan seperjuangannya, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) hari menjelaskan ia tidak menolak sebarang dialog tetapi menegaskan isunya haruslah untuk semua kaum dan agama.

Pengerusi SMM Syeikh Omar Ali juga menyifatkan "muzakarah" Umno-PAS kini sebagai "senjata jahat yang digunakan oleh Umno" dan boleh "menjerumuskan diri (PAS) kepada perangkap berbahaya" parti tersebut."

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) semalam membidas semula SMM, yang mengkritiknya kelmarin kerana menyokong muzakarah pemimpin-pemimpin Melayu, agar "tidak menjadi Melayu-fobia."

SMM, satu gabungan mahasiswa pelbagai kaum, menganggap sokongan PKPIM pemimpin-pemimpin Melayu bermuzakarah tentang nasib umat Melayu sebagai "tidak sesuai."

"Kami memandang ini adalah satu tindakan yang kurang prihatin terhadap perasaan kaum lain di Malaysia," kata organisasi itu.

"Negara kita sebenarnya tidak memerlukan perpaduan sesuatu kaum untuk mempertahankan hak kaum tersebut. Kita memerlukan sistem yang mempertahankan hak rakyat biasa tidak mengira kaum."

Dalam kenyataan menjawab PKPIM, ia mengulangi cadangannya agar dialog diadakan merentasi kepentingan sesuatu kaum, parti dan agama.

"SMM mengemukakan cadangan di sini agar proses konsultasi, perbincangan, wacana dan apa yang disebut sebagai ‘muzakarah’ ini tidaklah sekadar melibatkan Umno dan PAS semata-mata, sebaliknya semua pemuka-pemuka parti politik dapat duduk semeja bagi membincangkan apa-apa sahaja isu yang berkaitan kepentingan semua bangsa, dan agama," kata Syeikh Omar.

"Heret mereka semua bersama, duduk semeja dan perbincangkan secara terbuka dan telus apa-apa sahaja perkara yang melibatkan survival semua kaum, bangsa dan negara."

SMM juga menggesa PAS menunaikan slogannya "PAS untuk semua" dalam pendekatan dialog dengan semua pihak, tidak terkhusus pada Umno.

"Nah, buktikanlah sekarang tanpa ada selindung dan tanpa perlu berpakat hanya dengan Umno bahawa Islam mampu mengemudi dan menawarkan kesejahteraan kepada seluruh rakyat Malaysia," kata pemimpin kumpulan pelajar itu lagi.

ADS