Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu mendesak pihak polis menyiasat dengan segera kos penyelenggaraan kereta Proton Perdana V6 eksekutif kerajaan negeri Terengganu yang terlalu tinggi dan melampau.
Ketuanya, Mohd Fariz Musa membuat laporan polis berhubung perkara itu di Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu jam 3.02 petang.
Beliau ditemani oleh Timbalannya, Muzafeq Affyulzalfuzam Mohamad dan beberapa exco AMK.
Aduan tersebut adalah berdasarkan kepada laporan Utusan Online dan Bernama pada 23 Julai lalu.
Mohd Fariz turut menyertakan kenyataan Proton bahawa kos penyenggaraan kereta Proton Pedana V6 adalah munasabah dan sederhana.
Menurut kenyataan Proton itu, tiada tuntutan jaminan yang dibuat terhadap Proton sejak Oktober 2004 bagi kenderaan terbabit.
"Kami berharap polis menyiasat dengan segera kos penyenggaraan yang tinggi dan melampau kerana ia melibatkan duit rakyat," katanya kepada Malaysiakini.
Fariz juga meminta Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya bersikap telus dan profesional serta menyiasat perkara tersebut hingga ke akar umbi.
"Jangan sampai ikan bilis tertangkap, ikan jerung (pula) terlepas,"katanya.
