Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS Temerloh bantah kongsi kuasa
Diterbitkan:  Jul 26, 2008 1:54 PM
Dikemaskini: 8:08 AM

Dalam satu perkembangan yang boleh dianggap sebagai reaksi akar umbi PAS berhubung muzakarah dengan Umno, PAS Kawasan Temerloh dengan tegas menentang sebarang kerjasama politik atau perkongsian kuasa dengan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Ia terkandung dalam surat yang dihantar oleh Yang Dipertuanya, Abd Rahim Abd Latiff kepada Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaffar, yang bertarikh 23 Julai lalu.

Menurut Abdul Rahim, pendirian itu dibuat dalam mesyuarat tergempar ahli jawatankuasa kawasan tersebut Rabu lalu.

"(Mesyuarat tersebut) membantah dan menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk perundingan, tawar-menawar atau kerjasama atau apa-apa tindakan atau usaha yang menjurus atau dilihat menjurus kepada apa-apa bentuk pakatan politik atau perkongsian kuasa dengan Umno/BN atas apa-apa sebab atau alasan sekali pun," katanya dalam surat tersebut.

Dalam surat tersebut, yang turut dihantar pada pihak media, Abd Rahim berkata, pihaknya mempertegaskan komitmen kepada persefahaman dan persepakatan sedia wujud dengan PKR dan DAP dalam kerangka Pakatan Rakyat.

Katanya, ia menjadi wadah perjuangan dan perubahan politik yang sah dan dipersetujui bersama untuk negara Malaysia yang bermoral, demokratik, adil, saksama, berkebajikan, bertanggungjawab, telus dan bebas.

Bagaimanapun, Abd Rahim berkata, pihak mempersetujui dan bersikap berlapang dada terhadap apa-apa bentuk komunikasi, perbincangan, muzakarah/muqabalah dengan mana-mana pihak di luar parti, sama ada parti politik atau pertubuhan atau individu, untuk tujuan dakwah atau kebajikan yang spesifik dan praktis serta dipersetujui bersama oleh kepimpinan parti.

Beliau juga merakam rasa sedih dan bimbang atas perkembangan dan insiden-insiden yang mempelihatkan berlakunya perbezaan dan percanggahan pendapat di antara kepimpinan tertinggi parti secara terbuka dan berterusan.

Katanya, perkara itu telah mencetuskan kekeliruan dan kegelisahan di kalangan ahli dan penyokong parti, sekaligus membuka ruang kepada pihak-pihak yang berkepentingan menangguk di air keruh dengan menyemai benih keraguan dan perpecahan di kalangan ahli dan rakan dalam Pakatan dan rakyat umumnya.

Sehubungan itu, beliau meminta pimpinan parti supaya bersikap lebih berhati-hati dan tawadhu’ dalam mengeluarkan kenyataan dan pendapat bagi menghindari tercetusnya kekeliruan tersebut.

Jika perlu, katanya, semua kenyataan dan pendapat hendaklah diselaraskan terlebih dahulu sebelum dikeluarkan oleh seorang jurucakap rasmi parti, terutamanya dalam hal-hal seumpama itu yang berpotensi menimbulkan konflik dan fitnah yang merugikan.

Mesyuara tergempar itu juga, kata Abd Rahim, turut merakamkan kepercayaan dan keyakinan yang tidak berbelah bagi kepada kepimpinan parti yang diwakili oleh Mursyidul Am, Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat dan Presiden parti, Datuk Seri Abd Hadi Awang;

ADS