Pelan peralihan kuasa dalam Wanita Umno belum dibincangkan oleh pergerakan itu, kata ketuanya Tan Sri Rafidah Aziz.
"Peralihan kuasa Wanita kena tunggu dulu, kita tidak bincang dalam mesyuarat kali ini.
"Hari ini kita bincang perkembangan terkini yang berlaku termasuk dalam bidang ekonomi," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pergerakan itu di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur hari ini.
"Perkara utama yang kita bincangkan ialah mengenai persiapan jentera Wanita bagi menghadapi pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh.
"Jentera kita bergerak serta-merta dan esok pemimpin kita akan turun ke Permatang Pauh," katanya.
Semalam presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletak jawatan sebagai ahli parlimen bagi memberi laluan kepada suaminya dan penasihat parti Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.
Mengulas mengenai peluang BN dalam pilihanraya tersebut, Rafidah berkata, ia “sukar diramal.”
"Selain soal calon, ia juga berkait dengan pengundi. Permatang Pauh bukan sahaja ada pengundi Melayu tetapi juga pengundi bukan Melayu.
"Tetapi kita (Wanita) akan turun habis-habisan membantu calon BN. Kita akan bekerja cara Wanita BN, bukan lagi sebagai Wanita Umno," katanya.
Rafidah juga mengulas keputusan PAS menolak kerjasama dengan Umno dan BN bagi membentuk kerajaan campuran di peringkat negeri dan pusat seperti yang diumumkan.
Katanya, niat baik Umno tidak diterima dengan baik oleh pemimpin PAS.
"Tidak perlulah sampai bubar parti, tidak payahlah ada syarat. Jika ada isu ummah, bolehlah berbincang," katanya.
Semalam presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata isu tawaran Umno untuk mewujudkan kerajaan bersama di semua peringkat “tidak lagi berbangkit”.
Keputusan itu dicapai selepas pertemuan khas hampir lima jam barisan pemimpin tertinggi PAS bagi meredakan kehangatan kontroversi rundingan sulit dengan Umno sejak beberapa minggu, khususnya selepas pengakuan Abdul Hadi awal Julai.
