Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemain bola saman akhbar RM1 juta
Diterbitkan:  Aug 4, 2008 9:10 PM
Dikemaskini: 1:20 PM

Seorang pemain bola sepak Perlis hari ini memfailkan saman dan menuntut ganti rugi sebanyak RM1 juta terhadap akhbar Kosmo berhubung siasatan kes rasuah membabitkan para pemain bola sepak negeri itu oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR), Mei lalu.

Yusri Che Lah menamakan dua wartawan harian itu Zainal Azhar Mohamed dan Hafizudin Mohd Safar sebagai defendan pertama dan kedua, manakala pengarang Kosmo sebagai defendan ketiga dan akhbar itu sebagai defendan keempat.

Menurut laporan Bernama , writ saman itu difailkan oleh peguam pemain itu Jamil Mohamed Shafie petang tadi di Mahkamah Tinggi Kangar.

Pemain bola sepak itu selaku plaintif turut hadir.

Dalam pernyataan tuntutannya, Yusri berkata pada 15 Mei lalu, Kosmo menyiarkan berita beserta fotonya yang menggambarkan beliau seolah-olah terbabit dalam kegiatan rasuah.

Penyiaran berita serta gambar itu menjatuhkan maruahnya serta keluarga apatah lagi dengan kedudukannya sebagai pemain bola sepak profesional di Perlis dan terkenal.

Plaintif mendakwa bahawa kegiatan hariannya bersama keluarga terpaksa dihadkan kerana dicemuh oleh jiran dan masyarakat, lapor agensi berita itu lagi.

Beliau menuntut ganti rugi berjumlah RM1 juta termasuk ganti rugi teruk dan teladan dan faedah sebanyak lapan peratus setahun dari tarikh penyiaran berita itu sehingga penyelesaian sepenuhnya kes itu di mahkamah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS