Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membenarkan permohonan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu untuk mendapatkan perintah sementara bagi menghalang bekas ketua pemuda MIC, M Vigneswaran dan tiga yang lain, daripada terus menerbitkan artikel berunsur fitnah terhadapnya.
Hakim Rosnaini Saub yang mengeluarkan perintah itu dalam kamarnya, turut mengarahkan plaintif dan kesemua defendan, menyediakan hujahan bertulis dalam masa enam minggu sebelum permohonan inter-parte didengar pada 23 Okt depan.
Pada 29 Julai, Samy Vellu memperoleh perintah sementara daripada Mahkamah Tinggi yang sama bagi menghalang kesemua defendan daripada terus menerbitkan artikel mengandungi fitnah mengenai beliau. Perintah injunksi itu berakhir hari ini.
Pada 24 Julai lalu, presiden MIC itu memfailkan writ saman terhadap Vigneswaran, editor syarikat akhbar harian Tamil iaitu Malaysia Nanban , MMaryanandy, penerbit akhbar Malaysia Nanban Penerbitan Sahabat (M) Sdn Bhd dan syarikat percetakan akhbar itu, Aslita Sdn Bhd dan menamakan mereka sebagai defendan.
Menurut laporan Bernama, dalam pernyataan tuntutannya, Samy Vellu memohon gantirugi RM10 juta bagi libel, gantirugi untuk tort konspirasi, gantirugi teruk, kos dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Samy Vellu mendakwa defendan pertama Vigneswaran dan defendan ketiga iaitu Penerbitan Sahabat telah menerbitkan kenyataan fitnah berkaitan dirinya (Samy Vellu).
Defendan keempat Aslita Sdn Bhd, pula telah mencetak artikel berbentuk fitnah itu dan defendan kedua pula merupakan pengarang akhbar berkenaan yang seharusnya bertanggungjawab terhadap artikel terbabit.
Didakwa cemar imej
Samy Vellu berkata artikel berkenaan diterbitkan pada 9 Julai lalu pada muka surat satu dan sambungan artikel itu di muka surat empat akhbar Malaysia Nanban .
Samy Vellu berkata artikel itu mempunyai unsur-unsur fitnah dan telah menjejaskan kredibiliti dan nama baiknya.
Beliau juga mendakwa tindakan para defendan bukan sahaja mencemarkan imejnya sebagai presiden parti tetapi juga mengubah tanggapan orang ramai terhadap keupayaan parti dalam melindungi kepentingan masyarakat India.
Vigneswaran pada 13 Ogos lepas pula memfailkan afidavit jawapan dengan mendakwa segala kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau adalah benar dan bukan fitnah.
Katanya kenyataan yang dikeluarkan adalah untuk menjalankan tanggangjawab beliau membela nasib golongan belia India.
Samy Vellu diwakili peguam S.Selvam sementara Vigneswaran diwakili peguam A Vasanthi dan A Kumar dan tiga defendan lain diwakili peguam C S Arumugam dan Khairun Niza Husnin.
