Polis menerima maklumat wujudnya usaha pihak tertentu menakut-nakutkan pengundi di Permatang Pauh bagi menghalang mereka keluar mengundi pada 26 Ogos ini.
Pegawai Perhubungan Media Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh, Supt Shaharon Anuar Abdul Latif berkata maklumat itu diperoleh hasil risikan dan pemerhatian pihaknya.
"Kita dapat tahu kumpulan-kumpulan itu cuba mengugut, menakutkan, dan menghalang pengundi serta menggunakan kekerasan terhadap penduduk di kawasan itu daripada menunaikan hak mereka mengundi," katanya kepada pemberita di Bukit Mertajam hari ini.
Bernama melaporkan beliau berkata tindakan seperti itu melanggar peruntukan Seksyen 8 atau Seksyen 3(1)(n) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya.
"Bagaimanapun orang ramai tidak perlu berasa takut untuk keluar menunaikan kewajipan masing-masing pergi mengundi sebab kita (polis) akan memastikan keselamatan dan keadaan terkawal," katanya.
"Kita akan tangkap (mereka yang mengambil tindakan sendiri) kerana polis akan bertindak tegas serta adil dan tidak ada sesiapa boleh mengambil tindakan undang-undang sendiri kerana mereka tidak ada kuasa," katanya.
Pilihanraya kecil itu akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Arif Shah Omar Shah, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat.
Pukul jurugambar
Dalam perkembangan lain, Shaharon Anuar berkata polis telah mengenal pasti identiti kira-kira 10 lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes jurugambar Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Mohamed Sairen Mohamed Nafis, 26, dan jurugambar agensi berita asing, Halim Berbar yang cedera dipukul sekumpulan penyokong Pakatan Rakyat semasa proses penamaan calon Sabtu lalu.
"Kebanyakan mereka merupakan penduduk tempatan dan siasatan lanjut mendapati mereka dipercayai telah melarikan diri dan sedang bersembunyi di luar Pulau Pinang," katanya.
Shaharon Anuar meminta individu-individu berkenaan tampil bagi membantu siasatan atau menghubung Pegawai Penyiasat kes itu, ASP Naim Asnawi di talian 019-5728844.
"Kita menyeru agar mereka memberi kerjasama dan pihak polis tidak akan teragak-agak mengeluarkan waran tangkap jika mereka gagal berbuat demikian," katanya.
Beliau berkata semalam pihaknya menerima dua laporan berhubung kes jenayah yang mempunyai kaitan dengan pilihanraya kecil itu.
"Laporan pertama adalah berkaitan dengan mengadakan ceramah tanpa permit di Kampung Balik Bukit, Permatang Pauh membabitkan ceramah itu disampaikan oleh calon PKR dan kes itu disiasat menurut Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967 iaitu melakukan perhimpunan haram," katanya.
Laporan kedua berkaitan kes mencabul kehormatan dibuat oleh seorang anggota Puteri Umno berusia 33 tahun. Kejadian itu berlaku pada hari penamaan calon ketika pengadu dan sekumpulan anggota Puteri Umno dalam perjalanan ke Institut Perguruan Tuanku Bainun, katanya.
"Tiba-tiba salah seorang lelaki yang memakai t-shirt PKR datang ke arah pengadu sambil menari-nari dan pada masa yang sama lelaki itu telah meraba punggung pengadu dan kes itu disiasat menurut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, " katanya.
