Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perutusan: PM S'pura sebut M'kini
Diterbitkan:  Aug 19, 2008 5:30 PM
Dikemaskini: 2:30 PM

Dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mengakui ‘kuasa' media baru, dan bercadang untuk melonggarkan ‘kawalan' ke atas penggunaan Internet di republik itu.

Menurut Lee, politik kini telah beralih ke talian dan ahli politik sendiri kini mempunyai blog dan lamanweb untuk ‘menemui' pengundi masing-masing.

lee hsien loong and malaysiakini new internet media forum 190808 "Setiap orang kini menggunakan internet," kata Lee dalam ucapan sempena sambutan Hari Kebangsaan Singapura.

"Kita biasanya bercakap mengenai akar umbi, tetapi kini kita perlu bercakap mengenai ‘warga internet'."

Sambil menyifatkan penggunaan Internet sebagai satu trend global yang perlu diberi perhatian oleh kerajaannya, Lee mengambil contoh jiran terdekatnya - Malaysia -di mana ruang siber telah menjadi "ruang yang aktif untuk mendapatkan maklumat".

Di negara jirannya itu,, kata Lee, terdapat blog dan ‘bilik sembang' serta laman berita seperti Malaysiakini, yang amat popular.

Malah, katanya, beliau sendiri tahu bahawa ramai rakyat Singapura yang melayarinya (Malaysiakini) yang menyiarkan banyak berita.

Tayang Malaysiakini

Lee turut menunjukkan halaman depan Malaysiakini di skrin besar yang digunakannya sewaktu ucapannya sempena hari kebangsaan, bagi menekankan lagi hujah-hujahnya.

Beliau turut menunjukkan lamanweb bloger terkemuka, Jeff Ooi yang berjaya terpilih sebagai ahli Parlimen Jelutong dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, serta ikon pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

BN juga, katanya, telah memanfaatkan ruang siber, walaupun tidak sehebat yang lainnya.

Katanya, isu-isu seperti kenaikan kos sarahidup, sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lemah, dan tanggapan wujudnya ketidaksaksamaan dalam dasar-dasar kerajaan, mendapat tempat di media baru dan tersebar secara meluas.

Bagaimanapun, Lee juga mengingatkan bahawa Internet juga boleh menjadi tempat bercambahnya khabar angin, seperti di Korea Selatan di mana presidennya yang baru dipilih, Lee Myung-bak, dikecam hebat selepas berita mengenai penyakit lembu gila tersebar di ruang siber.

Ini, kata Lee, kemudiannya didapati tidak benar.

Namun begitu, katanya, Internet telah mengubah cara Singapura mengendalikan politiknya.

"Kita perlu membiasa diri dengannya dan mengubahnya menjadi sesuatu yang positif," katanya.

Impak terhadap p'raya

Lee turut menegaskan bahawa impak internet terhadap pilihanraya umum republik itu yang akan datang - dalam tempoh lima tahun - akan menjadi lebih besar.

‘Hayat siber sama seperti hayat anjing, jadi lima tahun siber, adalah seperti 35 tahun dalam kehidupan sebenarnya," katanya.

Perdana menteri Singapura itu juga berkata, kerajaan akan membuat perubahan, tetapi akan melakukannya secara berhati-hati, terutama dalam kes demonstrasi terbuka awam.

"Penekanan utama terhadap kesemua perubahan ini ialah meliberalkan masyarakat kita, untuk meluaskan ruang bersuara dan penyertaan. Kita menggalakkan lebih ramai rakyat membabitkan diri dalam berdebat, mengambil bahagian dalam pembinaan masa depan kita bersama," katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan menarik balik larangan terhadap pembikinan filem dan dokumentari politik.

Sejak tahun-tahun yang lalu, Singapura telah mengharamkan sejumlah filem politik, termasuk dokumentari pengarah Martyn See mengenai penahanan bekas wartawan - Said Zahari - selama 17 tahun di repbublik itu di bawah Akta keselamatan Dalam Negeri.

Para pengkritik bagaimanapun menyifatkan langkah awal seumpama itu tidak cukup untuk menjadikan Singapura sebuah masyarakat yang demokratik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS