Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Subjudis sebar risalah pemeriksaan Saiful di Pusrawi
Diterbitkan:  Aug 24, 2008 8:41 PM
Dikemaskini: Aug 25, 2008 7:09 AM

Penyebaran risalah pemeriksaan doktor Hospital Pusrawi yang menunjukkan Mohd Saiful Bukhari Azlan tidak mengalami kejadian liwat mengganggu atau subjudis proses mahkamah Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata menteri dalam negeri.

Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata mereka yang mencetak dan mengedar risalah itu adalah tidak bertanggungjawab memandangkan kes itu akan dibicarakan di mahkamah, lapor Bernama .

"Jika laporan itu benar, ia adalah bukti di mahkamah kelak dan semua pihak dapat mengemukakan bukti masing-masing," katanya selepas taklimat di ibu pejabat polis daerah Seberang Perai Tengah hari ini.

Pada 7 Ogos lepas, Anwar - yang bertanding dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh - mengaku tidak bersalah di mahkamah terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya itu di sebuah kondominium di Kuala Lumpur pada 26 Jun lalu.

Persaingan Anwar dengan calon-calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah dan Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Hanafi Mamat akan diketahui pada hari mengundi Selasa ini.

Syed Hamid dilaporkan berkata, risalah seumpama itu diedarkan untuk mencari pengaruh politik dan membuktikan jika Anwar terpilih menjadi wakil rakyat, beliau akan mengenepikan undang-undang.

"Apabila mereka (pembangkang) dikenakan tindakan undang-undang, mereka akan mendakwa telah difitnah dan dianiayai, apabila mereka melanggar undang-undang, ia dianggap mereka bukan satu kesalahan," beliau dipetik sebagai berkata.

Menurut agensi berita itu lagi, risalah hasil pemeriksaan terhadap Mohd Saiful tiba-tiba muncul pada pilihanraya kecil itu yang bermula sejak 16 Ogos lalu.

Para penyokong Anwar mengedarkan risalah pemeriksaan perubatan itu bagi mendakwa tuduhan Mohd Saiful Bukhari tidak berasas, lapor Bernama lagi.

Hospital Pusrawi semalam dalam satu kenyataan berkata hospital itu tidak bertanggungjawab terhadap penyebaran laporan tersebut.

Kes liwat itu menjadi topik panas apabila ia menjadi satu isu serangan terhadap Anwar dan PKR.

Klip video sumpah laknat Mohd Saiful pada 15 Ogos lalu dilaporkan ditayang di bilik-bilik gerakan BN dan pengulangan imej sumpah itu turut dibuat melalui siaran berita televisyen saban hari.

Laporan perubatan oleh Dr Mohamed Osman Abdul Hamid dibocorkan kepada media pada 28 Julai lalu. Dua hari kemudian, hospital itu menjelaskan doktor itu bukan seorang pakar dan tidak menjalankan pemeriksaan berhubung kes liwat.

Dr Mohamed Osman, dalam akuan berkanunnya 1 Ogos lalu, tetap mempertahankan pemeriksaannya terhadap Mohd Saiful.

Anwar, dalam satu sidang media selepas kebocoran laporan berkenaan, berkata ia menunjukkan tuduhan terhadapnya "tidak berasas dan bermotifkan politik, dan pengadunya seorang pembohong besar yang berpakat dengan mereka yang berkuasa untuk mencemarkan keperibadiannya."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS