|
Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menolak permohonan habeas corpus oleh lima pemimpin Hindraf yang kini ditahan di Tempat Tahanan Perlindungan Kamunting bagi membebaskan mereka daripada tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Dalam penghakimannya, Persuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim berkata, secara kesimpulannya mahkamah mendapati tiada sebarang pelanggaran seperti yang didakwa pemohon terhadap mana-mana peruntukan Perlembangaan, Akta dan kaedah yang mewajarkan mahkamah mengeluarkan satu habeas corpus. Selain itu, beliau berkata mahkamah mendapati Lembaga Penasihat yang mengesyorkan penahanan mereka diteruskan tidak silap kerana cara asas inkuiri kehakiman tidak terpakai di hadapan Lembaga berkenaan, demikian menurut laporan Bernama
Mahkamah turut berpendapat bahawa Lembaga Penasihat mempunyai kaedah sendiri untuk mengurus tadbir prosedurnya dan ia adalah tertakluk kepada keselamatan dan kepentingan negara, katanya. Pada Mei lepas, R. Kengadharan, 41; M Manoharan, 46; V Ganabatirau, 34; P Uthayakumar, 46, dan K Vasantha Kumar, 34, memfailkan permohonan habeas corpus melalui firma guaman Tetuan Karpal Singh & Co.
Dalam permohonan itu, mereka menamakan Menteri Dalam Negeri dan penguasa Tempat Tahanan Perlindungan Kamunting sebagai responden. Afidavit permohonan
Dalam afidavit bagi menyokong permohonan mereka, lima pemimpin Hindraf terbabit memberikan alasan bahawa perintah Yang di-Pertuan Agong untuk meneruskan penahanan mereka pada dan selepas 26 Mac lepas adalah batal dan tidak sah. Mereka turut menyatakan bahawa keputusan Yang di-Pertuan Agong itu yang dibuat atas syor Lembaga Penasihat tidak mengikut seksyen 8B(1) dan oleh itu, ia cacat kerana tidak mengikut prosedur yang memberikan mereka hak untuk perintah habeas corpus. Ridwan dalam penghakimannya juga berkata apa yang diutarakan oleh Lembaga Penasihat adalah mengikut asas-asas kehakiman yang tertakluk kepada budi bicara Lembaga berkenaan untuk menjalankan tatacara mereka.
"Selepas ada wujudnya tatacara tersebut, tidak perlu undang-undang lain mentadbir kerana tatacara itu tertakluk di bawah Seksyen 10 (Kaedah-kaedah Keselamatan Dalam Negeri-Acara Lembaga Penasihat)," katanya.
Mengenai dakwaan bahawa Lembaga Penasihat perlu menerima keterangan bersumpah pemohon kerana mereka tidak disoal balas, Ridwan berkata keperluan itu tidak wujud di dalam mana-mana Akta dan Kaedah.
Kerahsian maklumat
Beliau berkata mahkamah berpendapat permohonan untuk memanggil pengawai penyiasat oleh pemohon untuk memberikan bukti yang ditolak Lembaga Penasihat juga tertakluk kepada budi bicara lembaga berkenaan untuk mempertahankan supaya tidak berlakunya pendedahan yang boleh memudaratkan pihak tertentu dan keselamatan negara. Selain itu, katanya mahkamah berpendapat Lembaga Penasihat berhak untuk tidak membekalkan nota-nota prosiding kepada pemohon kerana ia dibenarkan dan bagi menjaga kerahsiaan maklumat kes serta nota berkenaan bukan dokumen awam, katanya. Ridwan berkata Pengerusi Lembaga Penasihat tidak perlu menfailkan apa-apa jawapan terhadap hujahan pemohon kerana apa yang lebih penting ialah mengambil kira fakta bukti. Katanya mahkamah berpendapat tidak berlakunya pelanggaran hak asasi pemohon apabila pegawai penyiasat memberi keterangan tanpa kehadiran mereka kerana sebelum itu pemohon telah hadir bersama-sama peguamnya di hadapan Lembaga Penasihat walaupun dalam keadaan terhad. Kelima-lima mereka diwakili peguam Karpal Singh, P.Ponmugam, Sangeet Kaur Deo dan M.Kulasegaran serta seorang pemerhati dari Majlis Peguam T.Shan manakala kedua-dua responden diwakili Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Peguam Kanan Persekutuan Abdul Wahab Mohamad. Ketika ditemui pemberita selepas penghakiman itu, Karpal berkata pihaknya akan menfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan. |