Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Datuk Ahmad Ismail berkata beliau menerima keputusan Majlis Tertinggi (MT) terhadapnya berhubung kenyataannya yang didakwa berbaur perkauman terhadap masyarakat Cina.

ahmad ismail putrajaya meet pm 090908 06 "Keputusan itu telah ditetapkan oleh Allah sejak Azali. Yang berlaku rentetan daripada itu, adalah sebab dan musababnya saja," katanya dalam sidang media di ibupejabat Umno di ibunegara petang ini.

Sebelum itu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor telah menemui Ahmad untuk memaklumkam kepadanya mengenai keputusan MT tersebut.

Dalam mesyuarat khasnya hari ini, MT memutuskan Ahmad digantung keahliannya dan dilucutkan hak-haknya dalam parti selama tiga tahun.

Ahmad berkata, walaupun beliau menerima keputusan MT itu, tetapi beliau tetap tidak akan memohon maaf.

"Saya tidak akan minta maaf, kalau saya kaki bodek, saya tak mai (tidak sampai ke) peringkat ini. Kerana ketegasan saya, yang saya kena (tindakan) ini. Saya kata, saya tanggung. Tiada masalah," katanya.

Ahmad berkata, ini kerana beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dan oleh itu tidak perlu memohon maaf.

Ahmad juga berkata, beliau tidak membenarkan 10 buah bas yang membawa penyokongnnya datang ke depan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk memberi sokongan kepadannya.

Katanya, beliau berbuat demikian bagi mengelak berlakunya keadaan kelam kabut jika mereka hadir di situ.

Turun padang

Ahmad yang menyifatkan tindakan terhadapnya itu sebagai "tsunami" berkata, selepas tiga tahun, beliau berjanji akan melakukan 'comeback'.

Beliau berterima kasih kepada presiden parti Datuk Seri Abdullah Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak yang membawa perkara itu dalam perbincangan di peringkat MT Umno.

Beliau menyifatkan keputusan mesyuarat itu dibuat demi kesejahteraan negara.

gerakan koh tsu koon pc 041007 query Perkara itu, tambahnya, membuktikan Abdullah dan Najib "tidak lembik dan berani membuat keputusan".

Beliau meminta penyokongnya di seluruh negara supaya bertenang dan beliau mungkin akan turun ke akar umbi untuk memberikan penjelasan mengenainya.

Secara sinis, beliau turut mengucapkan tahniah pada Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Kon kerana telah "memenangi permainan ini".

Ditanya mengenai desakan beberapa pihak supaya beliau didakwa di bawah Akta Hasutan, Ahmad berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada pihak polis kerana beliau yakin dengan badan itu.

'Balas budi'

"saya ucap tahniah pada Koh. Dia menang, tak apa, hari ini hari dia," kata Ahmad.

Katanya, beliau juga mesti mengucapkan terima kasih kepada Dr Koh dan Gerakan, kerana cara 'unik' mereka membalas budi pada Umno, orang Melayu dan orang Islam "tetapi kita menerimanya".

umno ahmad ismail mt meet 100908 ahmad pc Menurut Ahmad lagi, beliau juga mahu semua orang Melayu di Bukit Bendera dan di seluruh negara mengingati hari ini.

Jangan lupa, katanya, jika mereka menyokong Gerakan, parti itu akan menunjukkan mereka membalas budi dengan cara yang paling unik.

Ahmad juga menegaskan bahawa Bukit Bendera telah menjadi batu loncatan kepada nama besar dalam Gerakan - Dr Koh, Chia Kwang Chye dan Teng Hock Nam.

Katanya, beliau bangga kerana telah membantu Gerakan menaikkan sesetengah pemimpin mereka, dari Bukit Bendera ke peringkat pusat.

Perang mulut

Secara sinis, Ahmad berkata, itu menunjukkan yang beliau bukan seorang yang bersifat perkauman.

Ahmad dan Dr Koh terbabit dalam perang mulut sejak Ahmad dilaporkan berkata masyarakat Cina hanya menumpang, ketika berceramah sewaktu kempen pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh.

Berikutan itu, Ahmad telah menuduh Dr Koh membangkitkan sentimen perkauman dengan memainkan perkara itu.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila Ahmad juga menggesa Gerakan supaya keluar dari BN, dan penyokongnya bertindak mengoyak gambar Dr Koh.

Sementara itu, Dr Koh berkata pihak polis mesti mengambil tindakan terhadap ancaman yang didakwa dibuat oleh Ahmad.

Katanya, keputusan Umno menggantung keahlian Ahmad merupakan satu langkah ke arah yang betul.

Beliau juga berharap ianya menjadi pengajaran kepada perbuatan yang tidak sensitif dan tidak bertanggungjawab.

ADS