Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nazrin minta pemimpin henti bersengketa
Diterbitkan:  Sep 16, 2008 12:02 PM
Dikemaskini: 4:17 AM

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini menyeru barisan kepimpinan negara supaya berhenti bersengketa sesama mereka dan sebaliknya menumpukan kepada usaha membangunkan sumber negara bagi kesejahteraan rakyat.

raja nazrin perak regent Baginda bertitah, dunia sedang menghadapi iklim ekonomi yang suram dengan kenaikan harga minyak dan makanan yang memerlukan kerajaan memastikan bekalan makanan terjamin, meningkatkan produktiviti, menyakinkan pelabur dan mewujudkan pekerjaan baru untuk meringankan tanggungan rakyat.

"Ia merupakan cabaran besar kepada mana-mana kerajaan sekalipun. Ia tidak akan dicapai melalui retorik politik semata-mata.

"Ia tidak akan dicapai jika di kalangan barisan kepimpinan, baik yang berada di dalam atau di luar kerajaan terus bersengketa," titah baginda di Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) ke-162 di Kompleks Islam Darul Ridzuan di Ipoh hari ini, demikian menurut laporan Bernama.

Raja Dr Nazrin bertitah suasana muram ekonomi dunia memerlukan para pemimpin mentafsirkannya sebagai cabaran terhadap negara dan bangsa yang memerlukan mereka bersama-sama menumpukan fikiran dan usaha untuk melaksanakan kerja yang produktif.

"Jika cabaran berat ini gagal ditangani, dibimbangi kestabilan dan ketenteraman negara akan terjejas; segala kejayaan yang telah dicapai sejak 51 tahun merdeka akan turut hilang dan pupus," titah baginda.

Titah Raja Dr Nazrin, semangat Ramadan sebagai asas membina akhlak mulia, disusuli semangat Syawal membina persaudaraan, hendaklah diterjemahkan dalam urusan harian berkeluarga, bermasyarakat, berkerajaan dan bernegara.

Tunjuk contoh teladan

"Begitu besar nikmat jika perpaduan dapat dipupuk, malah rahmat akan dilimpahkan di kalangan warga dan negara yang berada dalam harmoni; di sebaliknya persengketaan akan berakhir dengan perpecahan hingga kemakmuran tidak mungkin tercapai," titah baginda.

Raja Dr Nazrin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak turut menyeru barisan pemimpin Islam dan Melayu untuk menunjukkan sebaik-baik contoh teladan, menyemarakkan semangat persaudaraan, memperkukuhkan perpaduan, memberhentikan pertelingkahan dan menumpukan perhatian membangunkan kesejahteraan ummah.

"Perbezaan pendekatan dan kaedah, kelainan fahaman dan tafsiran, jangan sampai ke peringkat umat Islam dan orang Melayu berpecah dan terpisah, berpatah arang dan berkerat rotan, hingga yang menang menjadi arang, yang kalah menjadi abu," titah baginda.

Terdahulu pada majlis berasingan Raja Dr Nazrin berkenan menyampaikan kurniaan daripada Yayasan Sultan Azlan Shah kepada 59 badan sukarela, pertubuhan amal dan kebajikan yang di kendalikan oleh pelbagai kumpulan agama dan etnik di negeri ini bertempat di Auditorium, Kompleks Islam Darul Ridzuan.

Raja Dr Nazrin pada majlis itu bertitah Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah berkenan mengurniakan RM20,000 bagi setiap organisasi dengan keseluruhan kurniaan berjumlah RM1.18 juta.

Baginda bertitah enam bulan dari sekarang, setiap organisasi akan diminta mengemukakan akaun memperlihatkan bagaimana kurniaan itu telah dibelanjakan supaya urusetia Yayasan Sultan Azlan Shah dapat membuat penilaian sebelum memperakukan apa-apa kurniaan di masa hadapan.

ADS