Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
LRT berlanggar, 4 cedera ringan
Diterbitkan:  Sep 24, 2008 10:17 PM
Dikemaskini: Sep 25, 2008 3:38 AM

Kira-kira 300 penumpang terselamat dalam satu insiden pelanggaran yang membabitkan dua tren Sistem Transit Aliran Ringan(LRT Star) kira-kira 200m dari Stesen LRT Bukit Jalil hari ini.

Bagaimanapun, empat penumpang cedera ringan dalam kejadian pukul 6.30 petang itu dan mereka kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sebagai pesakit luar.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Ahmad Amir Mohd Hashim berkata kejadian berlaku apabila sebuah gerabak LRT Star Aliran Ampang dari arah Sungai Besi secara tiba-tiba berhenti 200 meter daripada Stesen LRT Bukit Jalil, sebelum dirempuh sebuah lagi gerabak LRT dari arah belakang dalam trek yang sama., demikian menurut Bernama.

"Kira-kira 300 penumpang berada dalam kedua-dua tren namun kesemua penumpang berjaya dikeluarkan serta tiada kecederaan parah termasuk ke atas kedua-dua pemandu tren, kecuali tiga wanita dan seorang lelaki mengalami kecederaan ringan.

"Punca kejadiannya kita sedang siasat dan kita akan ambil keterangan kedua-dua pemandu LRT berkenaan yang berusia dalam lingkungan 30-an untuk mengetahui punca sebenar kejadian," katanya di tempat kejadian.

Beliau berkata kira-kira 20 anggota polis bersama dua buah ambulans bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima maklumat dan menolong mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam kedua-dua LRT tersebut.

Pegawai Eksekitif RapidKL, Suffian Baharuddin berkata kejadian mungkin berpunca daripada masalah teknikal namun punca sebenar hanya akan diketahui setelah siasatan polis dan pihak RapidKL selesai.

Beliau berkata akibat pelanggaran itu, aliran sistem LRT di kedua-dua hala stesen Star Sungai Besi, Bukit Jalil dan Seri Petaling ditutup untuk malam ini.

"Tren yang berlanggar masih berada di atas landasan dan kami berharap keadaan akan kembali seperti sediakala esok," katanya.

Salah seorang penumpang yang terselamat, Ecoo Abu Samad, 32, seorang pekerja pembinaan berkata ketika kejadian, tren yang dinaikinya secara tiba-tiba berhenti berdekatan stesen LRT Bukit Jalil sebelum dirempuh kuat oleh tren lain dan menyebabkan kesemua penumpang terjatuh.

"Ketika tren tersebut berhenti, saya nampak lampu isyarat di hadapan berwarna merah dan dalam beberapa minit, tren dirempuh dari arah belakang.

"Kejadian berlaku ketika waktu sibuk dan ketika itu penumpang memang ramai. Kami terperangkap di dalam tren kira-kira 25 minit sebelum diselamatkan pekerja stesen LRT tersebut," katanya.

Seorang petugas TNB yang menaiki sebuah lagi tren, R.Perumal, 48, berkata dalam sistem lampu dan penghawa dingin terputus diikuti dengan keadaan riuh-rendah para penumpang dan mereka terpaksa bertindak sendiri dengan membuka pintu tren untuk keluar.

"Ketika keluar dari tren tersebut, saya nampak beberapa yang cedera dibawa masuk ke dalam ambulans. Saya sendiri luka sedikit di bahagian kepala akibat terhantuk di tiang," katanya.

ADS