Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafidah, Shahrizat dan kamilia digesa bersemuka
Diterbitkan:  Nov 16, 2008 10:55 PM
Dikemaskini: 2:59 PM

Wanita Umno Johor menyokong pelan peralihan kuasa antara Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil Jun tahun depan, dengan syarat mereka berdua dan Datuk Kamalia Ibrahim bersemuka mencari jalan penyelesaian berhubung pemilihan jawatan ketua dan naib ketua pergerakan tersebut.

Manakala Wanita Umno Selangor pula berpendapat sama ada Rafidah atau Shahrizat perlu mengalah demi memastikan tidak berlaku pertandingan yang akan memecahbelahkan parti.

Wanita Selangor juga berharap kedua-dua pemimpin berkenaan menghormati pencalonan yang telah diberikan di peringkat akar umbi.

Ketua Umno Johor, Datuk Halimah Sadique berkata, Rafidah, Shahrizat dan Kamilia perlu bersemuka untuk mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut berhubung tempoh peralihan kuasa sayap pergerakan itu.

Wanita Johor, katanya, yakin ketiga-tiga pemimpin tertinggi pergerakan itu mampu dan berupaya untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengelak pertandingan sesama mereka.

"Wanita Umno Johor tetap menyokong pelan peralihan kuasa Rafidah dan Shahrizat pada Jun tahun depan, tetapi kami meletakkan syarat mahukan mereka dan Kamalia bersemuka mencari jalan penyelesaian yang akan mengukuhkan perpaduan di dalam Wanita Umno," katanya kepada pemberita di Kluang hari ini, demikian menurut laporan Bernama.

Halimah sebelum itu mempengerusikan mesyuarat khas Wanita Umno Johor yang berlangsung selama lebih tiga jam dan dihadiri oleh 20 daripada 26 ketua Wanita Umno bahagian di Johor di Kluang.

Kekal bersatu

Menurut Halimah, Wanita Umno perlu kekal bersatu padu kerana sayap pergerakan itu merupakan tunjang kepada kekuatan Umno dan Barisan Nasional dan setiap usaha perlu digerakkan untuk memelihara perpaduannya.

Beliau turut berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan mengambil alih kepimpinan parti pada Mac depan memerlukan segala kekuatan daripada Wanita Umno.

Sementara itu Halimah turut mahukan pihak-pihak tertentu yang sentiasa mencampuri urusan dalaman Wanita Umno supaya menghentikan tindakan mereka itu kerana ia menimbulkan kekeliruan di kalangan anggota akar umbi sayap pergerakan itu.

Ahli Parlimen Tenggara itu turut membidas pemimpin-pemimpin Wanita Umno sendiri kerana mengeluarkan pelbagai kenyataan yang bercanggah tentang isu tempoh peralihan kuasa di antara Rafidah dan Shahrizat.

"Saya kadangkala naik loya apabila membaca suratkhabar kerana setiap hari ada sahaja artikel-artikel tentang Wanita Umno. Saya juga meminta pihak-pihak tertentu supaya jangan mencampuri urusan dalaman Wanita Umno.

"Kami tahu menyelesaikan masalah kami sendiri," katanya.

'Mesti ada yang beralah'

Di Shah Alam, Ketua Wanita Umno Selangor Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussin berkata pihaknya berpendapat sama ada Rafidah atau Shahrizat perlu mengalah demi memastikan tidak berlaku pertandingan yang akan memecahbelahkan parti.

Beliau menyatakan pandangan itu selepas mempengerusikan mesyuarat khas Wanita Umno beberapa bahagian di Selangor di Shah Alam hari ini, beliau berkata:

"Dalam mesyuarat hari ini, majoriti kami berharap pandangan kami di peringkat bawahan ini diambil kira bagi memastikan kepentingan parti diutamakan dalam usaha memulihkan kembali situasi politik negara dan merampas semula lima negeri yang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum lepas," katanya.

Seramai 20 daripada 22 Ketua Wanita Umno bahagian menghadiri mesyuarat hampir empat jam itu di Bangunan Umno Selangor.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Wanita Umno Malaysia berkata, Wanita Umno Selangor akan menghantar pandangan ke peringkat tertinggi berhubung isu terbabit termasuk menyenaraikan kesan baik dan buruk dalam setiap tindakan yang bakal diambil.

Seripah Noli berkata, berdasarkan keadaan semasa, semua pihak dilihat membuat tindakan mengikut emosi dan perkara itu sepatutnya dielakkan demi kepentingan parti.

Beliau berkata Wanita Selangor menghormati pendirian Rafidah dan Shahrizat berhubung perkara itu tetapi dalam masa yang sama mereka berharap agar kedua-dua pemimpin berkenaan menghormati pencalonan yang telah diberikan di peringkat akar umbi.

"Kita harap suara akar umbi didengar demi kebaikan bersama, apa yang pasti kami menolak sebarang pertandingan bagi dua jawatan penting itu. Perlu ada win-win situation. Kami yakin masih ada jalan penyelesaian yang boleh diambil.

"Dalam perjuangan mesti ada pengorbanan. Ramai orang lain berminat dan ada keinginan kepada jawatan tertentu tetapi oleh kerana akur (dengan keputusan pucuk pimpinan) mereka bersetuju dengan tidak menawarkan diri walaupun ada juga berlaku (pencalonan) di beberapa bahagian," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS