Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Semua biskut M'sia bebas melamine
Diterbitkan:  Nov 24, 2008 2:56 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Kesemua biskut yang dijual dalam pasaran tempatan dan dieksport oleh Malaysia bebas daripada pencemaran melamine, kata Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai.

liow tiong lai interview 260408 07 Katanya, biskut yang dicemari melamine sebelum ini telah ditarik balik daripada pasaran dan telah dilupuskan, lapor Bernama .

"Berikutan dengan langkah yang diambil kerajaan dan kerjasama yang diberikan oleh pengilang, sudah tiba masanya kita membuat pengumuman bahawa biskut di Malaysia adalah bebas dari pencemaran melamine," katanya selepas melawat kilang biskut Julie's di Kawasan Perindustrian Alor Gajah hari ini.

Liow berkata pengguna dan pengimport tidak perlu lagi meragui keselamatan biskut keluaran Malaysia kerana ia mematuhi tahap melamine yang ditetapkan selaras dengan negara lain seperti United Kingdom, Kanada, Australia, New Zealand dan Hong Kong.

Katanya, lapor agensi berita itu lagi, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bekerjasama dengan pihak industri dalam memastikan biskut keluaran Malaysia mematuhi tahap melamine yang ditetapkan.

melamine tainted food product 241108 01 Berikutan dengan penemuan melamine dalam beberapa jenis biskut yang dieskport terutama di rantau Asia, beliau berkata kerajaan Malaysia telah mengambil tindakan pantas mengenal pasti punca pencemaran melamine dalam biskut iaitu ammonium bikarbonat yang dimport dari tiga buah kilang di China.

"Kerajaan telah melarang pengimportan ammonium bikarbonat dari tiga buah kilang di China itu," katanya.

Bagi memulihkan keyakinan pasaran dan pengguna, katanya, kerajaan telah mengemukakan surat untuk menjelaskan dan meyakinkan pihak berkuasa negara pengimport akan langkah keselamatan makanan yang telah dan sedang diambil oleh

Malaysia.

"Ini akan disusuli dengan sesi penerangan ke luar negara terutama pasaran eksport yang dikenal pasti," katanya.

melamine tainted food product 241108 03 Beliau berkata Kementerian Kesihatan akan memudahkan urusan pengeksportan biskut ke luar negara dengan mengeluarkan surat perakuan yang menyatakan biskut yang dieksport itu mematuhi tahap melamine yang ditetapkan oleh negara pengimport.

Dalam hal ini, katanya, kemudahan makmal analisis melamine telah dikembangkan dan juga meliputi makmal kerajaan di Singapura.

Liow turut berpuas hati dengan pengeluaran biskut di kilang biskut Julie's yang mematuhi tahap keselamatan makanan yang tinggi dalam usaha syarikat memastikan pengeluaran biskut yang berkualiti dan selamat dimakan.

ADS