Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang exco Wanita Umno hari ini mendakwa penyokong Tan Sri Rafidah Aziz telah meminta bahagian-bahagian Umno mencalonkan bekas ketua Puteri Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said untuk bertanding jawatan naib ketua Wanita.

Pada masa yang sama, katanya, pemimpin berkenaan mahu mencalonkan beberapa exco yang menjadi penyokong Rafidah untuk jawatan tersebut.

Beliau berkata, pemimpin yang dicadangkan itu ialah ketua Wanita Johor, Datuk Halimah Sadique dan ketua Wanita Pahang, Datuk Maznah Mazlan.

"Mereka berbuat demikian kerana kecewa setelah kumpulan Datuk Seri Shahrizat membantah pengumuman pelan peralihan tanpa mengadakan perbincangan terlebih dahulu.

Selepas 191 bahagian selesai bermesyuarat, Rafidah mendapat 118 pencalonan untuk mempertahankan jawatan ketua Wanita, manakala Shahrizat pula mendapat 73 pencalonan bagi jawatan tersebut.

"Penyokong berkenaan menghantar SMS kepada pemimpin Wanita peringkat bahagian supaya mencalonkan Datuk Seri Azalina untuk jawatan ketua Wanita.

"Jika tidak mahu mencalonkan Datuk Seri Azalina, bahagian boleh mencalonkan Datuk Halimah dan Datuk Maznah," katanya yang namanya enggan disiarkan.

Bagaimanapun, kata exco berkenaan lagi, bahagian Wanita tidak mahu mencalonkan pemimpin tersebut kerana tidak yakin dengan kewibawaan mereka.

Ketiga-tiga pemimpin tersebut, bagaimanapun, tidak mendapat pencalonan yang mencukupi untuk membolehkan bertanding jawatan naib ketua Wanita.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS