Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 7:56pm Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyambut baik keputusan kerajaan Selangor ingin mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak berkuasa tempatan, NGO dan peniaga berhubung penguatkuasaan kawalan penjualan alkohol.

Timbalan Datuk Bandar, Mohtar Hani berkata, isu berhubung penguatkuasan penjualan minuman keras di negeri itu perlulah diperhalusi supaya keputusan yang tepat dapat dibuat.

Tambahnya, di Shah Alam, walaupun MBSA telah memutuskan pembatasan jualan alkohol di kawasan perbandaran itu, penguatkuasaannnya masih belum dilaksanakan.

"Kita tidak mahu (tindakan) bercanggah dengan keputusan exco," kata Mohtar kepada Malaysiakini hari ini.

Semalam, kerajaan negeri memutuskan menangguhkan dasar membataskan jualan minuman keras oleh sebarang pihak berkuasa tempatan termasuk MBSA.

Majlis itu pada asalnya merancang menguatkuasakan dasar mengehadkan jualan alkohol Januari depan.

Mengulas bidang kuasa MBSA mengawal penjualan alkohol di negeri itu, Mohtar berkata, perkara itu masih kabur berbanding bidang kuasanya dalam hal-hal lain seperti pemberian lesen perniagaan, pengurusan bangunan dan tempat letak kenderaan.

Berhubung cadangan mengehadkan jualan alkohol di stesen minyak, kedai runcit, kedai serbaneka 24 jam dan restoran, Mohtar berkata, penguatkuasaannya bukanlah di bawah bidang kuasa MBSA.

"Kita tidak boleh kuatkuasa. Kita hanya dibenarkan menguatkuasakan untuk alkohol lebih lima peratus sahaja," katanya.

Peranan majlis itu, tambahnya, hanyalah berbincang dan bekerjasama kerana perkara itu di bawah peruntukan pejabat daerah.

Terdapat dua pejabat daerah di kawasan itu, Pejabat Daerah Klang dan Pejabat Daerah Petaling Jaya.

Sementara itu, seorang ahli majlis PAS di kawasan perbandaran itu turut menyambut baik keputusan Selangor menangguhkan penguatkuasaan PBT itu untuk membolehkan perbincangan lanjut dilakukan terlebih dahulu.

"Pandangan exco lebih menyeluruh, mengambil kita seluruh Selangor. Kita (MBSA) cuma di peringkat Shah Alam sahaja," kata Norhalim Sirome kepada Malaysiakini .

Mengulas tindakan seorang ahli majlis semalam yang ingin mencadangkan perkara yang sama dalam mesyuarat Majlis Perbandaran Klang (MPK) semalam, Norhalim berkata, secara peribadinya beliau tidak bersetuju dengan tindakan itu.

"Di Klang (penduduknya) semua Cina. Di sini lain. Shah Alam OK, majoriti (penduduknya) Melayu," katanya.

Norhalim malah mencadangkan PBT lain menjadikan Shah Alam sebagai model sebelum memulakan di tempat masing-masing.

"Biar Shah Alam jadi contoh dulu. Buat satu-satu. Kita tengok dulu di Shah Alam macam mana. Nak buat di tempat lain juga terlalu awal. Baru lapan bulan (Pakatan Rakyat) memerintah," katanya

Mengulas lanjut cadangan yang asalnya dikemukakan wakil-wakil PAS itu, Norhalim berkata, penguatkuasaan yang dicadangkan hanya melibatkan kawasan-kawasa majoriti Melayu sahaja.

"Saya ingat, kita telah tandakan (kawasan) mengikut seksyen," katanya.

Kawasan itu, tambahnya, melibatkan 40 peratus daripada seluruh Shah Alam sahaja.

ADS