Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata pemilihanya sebagai timbalan presiden MCA bukan kerana ahli-ahli parti itu menerima kesalahan yang telah dilakukannya, ataupun mencerminkan kurangnya sensitiviti mereka terhadap nilai-nilai kekeluargaan.
Sebaliknya, tegas beliau, ia adalah penerimaan rakan-rakan seperjuangannya dalam MCA "yang yakin saya boleh menyumbang dan menerajui parti selepas tsunami politik".
"Saya begitu berharap semoga teman seperjuangan, saudara dan rakan-rakan dalam parti akan memberi saya peluang kedua," katanya dalam ucapan penerimaan Anugerah Kancil di Petaling Jaya hari ini.
"Saya percaya adalah lebih baik ditewaskan oleh rakan seperjuangan dalam pemilihan yang telus, daripada juruvideo tidak bernama, tidak berwajah dan pita yang dibuat untuk menamatkan karier saya," katanya .
Sehubungan itu, katanya, pemilihan parti kali ini bukanlah mengenai dirinya, tetapi mengenai perubahan set minda yang berkaitan dengan persekitaran politik negara.
"Di mana tanggungjawab, keberkesanan, ketelusan, kemampuan dan kepimpinan tokoh politik adalah yang paling terpenting kepada ahli-ahli parti (kepada rakyat). Bahawa mereka mahu perubahan sebenar," tambahnya.
Sehubungan itu, kata Dr Chua, beliau percaya bahawa bahawa perubahan itu penting dan boleh dilaksanakan
"Saya percaya, ahli politik dipilih oleh rakyat supaya dapat mengubah dunia menjadi lebih baik.
"Jika kita mahu perubahan positif, maka kita jangan takut kepada perubahan dan mempunyai keberanian untuk berubah," katanya.
'Bermula satu perjalanan'
Menurut Dr Chua lagi, apabila beliau memutuskan untuk bertanding dalam pemilihan parti MCA tahun ini, "ia sebenarnya permulaan kepada satu perjalanan untuk perubahan dan pengharapan".
"Saya berfikir, saya mesti mengubah persepsi umum. Bahawa seorang ahli politik itu sebenarnya boleh bersikap jujur, bila berdepan dengan isu-isu peribadi.
"Dalam kes saya, saya mahu berubah dengan membuat pengakuan, dengan meletak/melepas kesemua jawatan saya dalam parti dan kabinet dalam masa 24 jam.
"Dan bila saya bertanding dalam pemilihan parti, saya mahu mengubah persepsi bahawa jika anda seorang tokoh masyarakat, anda tidak boleh buat salah dan mesti bertanggungjawab terhadapnya.
"Penjenayah pun diberi peluang kedua. Apa yang hendak kita berita anak-anak kita yang buat silap? Dan dengan tidak berpatah balik, tiada jalan untuk memperbetulkan kesalahan atau sedia mengaku kesilapan?
"Bila saya bertanding dalam pemilihan parti, saya mencabar norma itu," tambahnya.
