|
Surirumah Yim Pek Ha yang dihukum 18 tahun penjara selepas didapati bersalah mencederakan dengan parah pembantu rumahnya Nirmala Bonat empat tahun lalu, hari ini dibebaskan dengan ikatjamin RM200,000 sementara menunggu rayuannya. Hakim Akhtar Tahir, ketika membenarkan ikatjamin tersebut berkata Yim berhak membuat rayuan hingga ke peringkat tertinggi.
Katanya, beliau juga menerima keperluan tertuduh untuk berada dekat dengan anak-anaknya dan juga atas sebab-sebab kesihatan kerana tertuduh menghidap lelah. Menurutnya lagi, ini merupakan kesalahan pertama Yim dan oleh itu beliau membenarkan penangguhan hukuman atas sebab-sebab kemanusiaan. Beliau bagaimanapun memutuskan untuk meningkatkan jumlah ikatjamin kepada RM200,000 dengan seorang penjamin. Akhtar juga mengenakan dua syarat untuk membenarkan ikatjamin tersebut - Yim perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran jika dia keluar dari kawasan Kuala Lumpur dan dia perlu menyerahkan dokumen perjalanannya kepada mahkamah.
Semalam, tertuduh didapat bersalah terhadap tiga pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan teruk terhadap Nirmala menggunakan seterika dan air panas, di 33B-26-6 Villa Putera, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur pada Januari, Mac dan April 2004.
Hakim menjatuhkan hukuman 18 tahun bagi setiap satu kesalahan tersebut, tetapi ia akan berjalan serentak.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi telah membenarkan ikatjamin kepada Yim pada 19 Julai 2004, selepas dilaporkan yang dia mengalami tekanan darah tinggi.
Berikutan itu, mahkamah membenarkan ikatjamin sebanyak RM85,000 dengan seorang penjamin dan keluarganya tidak benarkan mengambil pembantu rumah sehingga kes itu selesai.
Baca berita penuh |