Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes RPK: Hakim serah pada Mahkamah Tinggi
Diterbitkan:  Nov 28, 2008 4:10 PM
Dikemaskini: 10:21 AM

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menyerahkan kepada Mahkamah Tinggi sama ada untuk mengembalikan kes fitnah penulis blog Raja Petra ke Mahkamah Majistret untuk dibicarakan.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat berkata hari ini beliau tidak membuat sebarang keputusan mengenai permohonan pihak pembela kerana ada permohonan seperti itu telah dikemukakan di Mahkamah Tinggi dan ia adalah wajar untuk menunggu keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

Beliau kemudian menetapkan 15 Disember untuk kes itu disebut, demikian dilaporkan oleh Bernama.

Mohamad Sekeri sepatutnya memberikan keputusan hari ini mengenai bantahan permulaan Raja Petra yang memohon mahkamah itu mengembalikan kes tersebut ke mahkamah rendah untuk perbicaraan dengan alasan bahawa perintah majistret untuk memindahkan kes berkenaan adalah tidak sah, batal dan bertentangan dengan undang-undang.

Majistret itu telah membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Sesyen atas alasan ia membabitkan kepentingan awam.

Selain membuat bantahan permulaan, editor Malaysia Today itu melalui peguamnya, Manjeet Singh Dhillon, juga memfailkan satu notis usul di Mahkamah Tinggi pada 25 Nov memohon satu perintah untuk mengembalikan kes itu ke Mahkamah Majistret atau merujuknya kepada Mahkamah Persekutuan mengenai isu perlembagaan.

Mahkamah Tinggi menetapkan 4 Dis untuk kes itu didengar.

Raja Petra didakwa memfitnah isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Rosmah Mansor, Pemangku Kolonel Abdul Aziz Buyong dan isterinya, Kolonel Norhayati Hassan, dalam akuan berkanun yang dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil di Jalan Duta di sini pada jam 10.25 pagi 18 Jun.

Jika sabit kesalahan, Raja Petra menghadapi hukuman penjara dua tahun atau didenda, atau kedua-duanya, bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Minggu ini ditetapkan untuk perbicaraan tetapi mahkamah tersebut terpaksa mendengar bantahan permulaan Raja Petra sebelum perbicaraan dijalankan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS