MIC hari ini mengutuk serangan militan di Mumbai, yang meragut lebih 100 nyawa, termasuk rakyat Malaysia Hema Kassipillay.
Presidennya Datuk Seri S Samy Vellu, yang melahirkan rasa terkejut dan sedih dengan kematian Hema, mengutuskan ucapan takziah kepada suaminya K Sivakumaran, lapor Bernama .
Beliau berharap kerajaan Malaysia membantu urusan membawa pulang mayat wanita itu ke tanah air.
"Kami sedih dan marah dengan kematian Hema serta hampir 200 yang lain akibat tindakan ganas sekumpulan manusia liar yang tidak pernah terfikir oleh akal ini," katanya kepada agensi berita itu.
Samy Vellu menyeru Suruhanjaya Tinggi Malaysia di India menuntut mayat wanita malang itu dengan segera kerana menurut laporan, bedah siasat terhadapnya telah selesai dijalankan.
Hema, 51, yang dilaporkan tidak dapat dikesan sejak serangan ganas itu berlaku di Mumbai dijumpai meninggal dunia di dalam bilik penginapannya di Taj Mahal Hotel, semalam.
Hema, dari Bangsar, Kuala Lumpur, dipercayai meninggal dunia kerana sesak nafas akibat terhidu asap dan bedah siasat terhadap mayatnya di Sir Jamshedji Jeejibhai Hospital tidak menemui sebarang kecederaan akibat tembakan.
Setiausaha agung MIC Datuk Dr S.Subramaniam, yang juga Menteri Sumber Manusia berkata "kami utuskan doa untuk Hema dan mangsa lain yang terbunuh dalam tragedi itu."
