Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saluran khas sidang Parlimen di RTM?
Diterbitkan:  Dec 3, 2008 1:51 PM
Dikemaskini: 6:25 AM

Kementerian Penerangan sedia menimbangkan menyediakan satu saluran khusus di RTM untuk menyiarkan perjalanan persidangan Parlimen, kata Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Bagaimanapun, katanya RTM akan menilai kebaikan dan keburukan saluran siaran langsung seumpama itu yang kini dilaksanakan di negara lain seperti Amerika Syarikat dan Brazil.

"Ada negara seperti Amerika (Syarikat) mempunyai saluran tersendiri yang menyiarkan perbahasan atau perkara-perkara yang berlaku di Kongres atau Senat negara tersebut dan sewaktu Kongres atau Senat tidak ada, saluran tersebut dianggap sebagai saluran politik untuk membincangkan perkara-perkara politik secara khususnya," katanya di Dewan Rakyat hari ini, lapor Bernama .

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Razali Ibrahim (BN-Muar) sama ada kerajaan boleh menimbangkan untuk menyediakan satu saluran khusus mengenai perjalanan Dewan Rakyat, Dewan Negara atau Dewan Undangan Negeri sepertimana yang dijalankan di negara-negara lain.

"Masih ramai yang menggunakan waktu (siaran) tersebut untuk bermain dengan galeri iaitu bercakap bagi memuaskan hati orang kawasannya lebih daripada kepentingan negara dan soal kerajaan keseluruhannya.

"Jadi perkara ini, kita akan kaji lagi dan tengok kesan baik dan buruknya. Tidak semua negara maju yang ada satu saluran khusus dan sebagainya," kata Ahmad Shabery.

Sebelum itu, Razali dalam soalan asalnya bertanyakan mengenai minat dan maklum balas rakyat sejak penyiaran secara langsung sidang Dewan Rakyat yang dilaksanakan awal tahun ini melalui kajian dan tinjauan pendapat yang pernah dibuat selain jumlah kos penyiaran dan pendekatan yang lebih menjimatkan.

Ahmad Shabery berkata 93 peratus hasil tinjauan melalui SMS Rancangan Selamat Pagi Malaysia siaran RTM1 pada Mei lalu mendapati penonton bersetuju liputan siaran langsung sidang Dewan Rakyat diteruskan.

"Kementerian Penerangan masih dalam peringkat kajian dan belum bercadang untuk menambah masa siaran langsung sesi soal jawab Parlimen dari 30 minit kepada 90 minit dan menyiarkannya melalui internet," katanya.

Ahmad Shabery berkata anggaran kos penerbitan siaran langsung itu adalah RM2.3 juta setahun manakala kos sebenarnya bergantung kepada bilangan hari persidangan.

ADS