Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menyifatkan filem seram tidak memberi kesan yang boleh menimbulkan perasaan takut dan menyuburkan kepercayaan pada perkara tahyul.

Presidennya Freddie Fernandez menyifatkan karya seni tersebut "sebagai hiburan ringan" dan menyerahkan kepada penonton televisyen untuk menilai sendiri.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar hari ini yang menyatakan kebanyakan drama atau filem berunsur seram yang banyak ditayangkan ketika ini tidak sesuai ditonton kerana mengandungi unsur-unsur tahyul dan khurafat yang keterlaluan.

Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din dipetik sebagai berkata, cerita seumpama itu menimbulkan perasaan takut dan kepercayaan karut, khususnya di kalangan kanak-kanak.

"Cerita daripada negara seberang khususnya Indonesia banyak mengandungi kepercayaan karut, walaupun ada unsur agama diterapkan," Abu Hassan dipetik sebagai berkata.

Freddie mencadangkan penayangan karya seram di stesen-stesen televisyen dihadkan dan perlu ada keseimbangan dengan filem-filem bercorak aksi, komedi atau cinta.

"Jangan terlalu banyak menayangkan filem (atau drama) seram. Obsesi nak tayang filem seram tapi (filem) yang lain, tak berjaya langsung.

"Perlu ada keseimbangan macam filem cinta, aksi, atau komedi daripada luar.

"Dan penerbit di Malaysia, teruskan terbitkan filem-filem bermacam-macam genre," katanya kepada Malaysiakini .

Beliau juga tidak menafikan ada penerbit atau karyawan terpaksa mengikut selera stesen TV untuk menghasilkan filem atau drama sedemikian.

"Hendak kongkong penerbit-penerbit (untuk mengeluarkan filem atau drama seram) tidak boleh. Ia menghalang kebebasan berkarya," tambah Freddie.

Abu Hassan juga mempertikaikan unit khas yang bertindak sebagai lembaga penapisan drama dan filem di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang hanya menyunting siaran RTM saja, "walhal sepatutnya ia meliputi semua saluran televisyen di Malaysia.”

Sementara itu, beliau juga memuji Lembaga Penapisan Filem kerana telah memberi kelonggaran menayangkan filem-filem aksi dari luar negara untuk menarik minat penonton tempatan.

"Ia harus diberi pujian dan ia satu perkembangan yang begitu sihat," katanya, sambil menambah kelonggaran tersebut boleh mempengaruhi penerbit untuk menghasilkan karya lebih bermutu.

ADS