Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mike tentukan kedudukan dalam PKR esok...
Diterbitkan:  Dec 30, 2008 5:40 PM
Dikemaskini: 9:43 AM

Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam akan membuat keputusan berhubung kedudukannya dalam PKR selepas berbincang dan mendapatkan maklumbalas daripada pemimpin-pemimpin kaum India dari seluruh Malaysia esok.

s manikavasagam and pkr Manikavasagam yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR berkata, beliau setakat ini masih berfikir tentang keputusan sukar yang perlu dibuat itu.

Bagaimanapun, beliau menafikan cakap-cakap bahawa beliau akan menyertai MIC sebagai parti kaum India terbesar dalam gabungan Barisan Nasional (BN).

“(Dakwaan) itu tidak benar,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Manikavasagam juga mendakwa tidak berminat menyertai sebuah lagi parti kaum India serpihan PKR - Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) pimpinan Datuk S Nalakarupan – yang juga bekas pemimpin kanan PKR.

Puluhan pemimpin India dari seluruh negara dijadual bertemu di sebuah hotel di Petaling Jaya petang esok bagi membincangkan nasib kaum India di bawah kerajaan Pakatan Rakyat.

Perbincangan itu akan turut berkisar tentang kedudukan Manikavasagam sebagai pemimpin penting kaum India dalam PKR – salah sebuah parti gabungan dalam Pakatan.

Tubuh parti baru?

Perjumpaan petang esok itu itu juga akan melihat keperluan penubuhan parti baru untuk memperjuangkan nasib kaum India di negara ini.

Program sejam itu dikelolakan Timbalan Setiausaha Agung PKR, P Jenapala.

Jumaat lalu, Manikavasagam dilaporkan berkata, beliau akan keluar dari PKR kerana tidak bersetuju dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan cara menteri besar itu mentadbir Selangor.

Khalid pula dilaporkan menjawab bahawa Manikavasagam bebas untuk meletak jawatan jika beliau mahu berbuat demikian dan beliau tidak berminat untuk berjumpa Anggota Parlimen itu atau untuk memintanya menimbang semula keputusannya.

Menteri besar Selangor itu bagaimanapun kemudiannya menafikan berkata demikian.

Sementara itu, Manikavasagam hari ini menyatakan hasratnya mahu menemui penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu.

Mesyuarat biro politik

Beliau juga mendakwa telah menyediakan kertas khas bagi tujuan itu untuk dibentangkan kepada Anwar.

Pemimpin nombor satu PKR itu bagaimanapun sekarang sedang berada di luar negeri.

Ketika ditanya tentang kesudian beliau menemui Abdul Khalid, Manikavasagam berkata: “(Pertemuan itu) bergantung kepada beliau (Abdul Khalid). Saya sedia pada bila-bila masa.”

Selain itu, ditanya sama ada beliau dipanggil memberikan penjelasan kepada Biro Politik PKR yang akan bermesyuarat malam esok berhubung ketegangan baru dalam PKR itu, beliau menjawab “tidak”.

Bagaimanapun, kata Manikavasagam: “Apa-apa tindakan, saya terima. Saya tidak salah. Saya perjuangkan isu-isu masyarakat.”

Mesyuarat biro politik itu, yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali, akan membincangkan isu utama dan berkaitan dalam usaha "untuk mencari jalan penyelesaian yang sesuai".

Manikavasagam dijadual berlepas beberapa hari ke India bermula 5 Januari ini bagi menghadiri satu seminar di India.

ADS