Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas menteri Sabah dipenjara 6 bulan
Diterbitkan:  Jan 2, 2009 12:32 PM
Dikemaskini: 8:22 AM

dikemaskini Seorang bekas menteri kabinet Sabah hari ini dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu kerana melakukan ugutan jenayah.

Datuk Conrad Mojuntin - bekas menteri kebudayaan, belia dan sukan negeri semasa pentadbiran parti Berjaya - melakukan kesalahan tersebut terhadap ahli perniagaan Doughty Disimon, di luar sebuah kafe belakang Public Bank, Donggongon, Penampang pada 3.30 pagi 23 Oktober 2005.

Pesuruhjaya kehakiman Datuk Abdul Rahman Sebli bagaimanapun membenarkan penangguhan hukuman itu sementara menunggu rayuan Conrad, lapor Bernama .

Pesuruhjaya itu menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan dua penjamin.

Mahkamah juga mendenda Conrad dan anak saudaranya David Mojuntin RM2,000 atau tiga bulan penjara setiap seorang kerana sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Chee Hee Fatt di tempat sama pada pukul 4 pagi hari yang sama.

Kedua-dua mereka membayar denda berkenaan.

Pada 17 Disember lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret yang membebaskan dua tertuduh daripada kesemua pertuduhan pada Mac tahun lepas.

Menurut agensi berita itu lagi, semasa membenarkan rayuan itu, pesuruhjaya kehakiman berkata majistret telah terkhilaf dalam keputusannya apabila memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan melampaui keraguan munasabah.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Zahir Hussein Shah, manakala Timbalan Pendakwa Raya Salim Soib mewakili pendakwaan.

ADS