Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Setelah hampir dua bulan berakhirnya mesyuarat bahagian, Wanita Johor dan Kedah masih tetap memberi sokongan kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk bertanding Ketua Wanita Umno Mac ini.

Tinjauan Malaysiakini di Johor dan Kedah, sokongan terhadap penasihat khas perdana menteri itu tidak berubah.

rafidah and shahrizat wanita umno 211108 Timbalan Ketua Wanita Johor, Senator Sharifah Azizah Syed Zain menjelaskan 80 peratus daripada 26 bahagian di Johor masih tetap menyokong Shahrizat dalam pemilihan parti itu nanti.

Katanya, sokongan padu terhadap Shahrizat tidak berkurangan, malah menggesa Tan Sri Rafidah Aziz memberi laluan kepada bekas ahli parlimen Lembah Pantai itu.

"Jika ada pertandingan, akan berlaku perpecahan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Bagaimanapun, kata Sharifah Azizah, perwakilan Wanita Johor matang untuk memilih calon ketua Wanita yang boleh membawa perubahan kepada pergerakan tersebut.

Wanita matang memilih

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Kedah, Noorhasnita Mat Isa berkata sokongan terhadap Sharizat masih tidak berubah berdasarkan kepada pencalonan yang diperolehinya di peringkat bahagian.

Katanya, 12 daripada 15 bahagian di Kedah menyokong Shahrizat untuk bertanding merebut jawatan ketua Wanita Mac ini.

"Wanita (Kedah) matang untuk memilih pemimpin. Berdasarkan pengalaman saya, diberi duit banyak mana pun, kalau kata yang tu (calon ketua Wanita), yang tu lah," kata Noorhasnita kepada Malaysiakini.

Di Kedah Wanita bahagian yang mencalonkan Shahrizat ialah dari Padang Terap, Kuala Kedah, Kubang Pasu, Kulim Bandar Baharu, Merbok, Sungai Petani, Jerlun, Baling, Langkawi, Sik, Padang Serai dan Pendang.

Beliau yang juga ketua Wanita Kuala Kedah akan menjadi perwakilan di persidangan agung Umno Mac depan, turut menggesa Wanita supaya memilih pemimpin yang boleh membuat perubahan dalam pergerakan itu.

"Wanita matang dan akan membuat keputusan yang terbaik. Wanita akan memilih calon terbaik di kalangan yang terbaik," tambahnya.

Bantu kempen di KT

Selepas mesyuarat bahagian berakhir November lalu, Shahrizat mendapat 74 pencalonan manakala penyandangnya, Tan Sri Rafidah Aziz memperolehi 117 percalonan untuk mempertahankan jawatannya.

Mengulas mengenai kempen Wanita Umno dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 6 hingga 17 Januari, Sharifah Azizah menjelaskan Wanita Johor tidak menghadkan penyokong untuk berkempen sepanjang pilihanraya kecil tersebut.

Tambahnya, kira-kira 80 wakil Wanita Johor ditugaskan untuk berkempen dan memantau perjalanan pengundian di Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam.

"Wanita kena kerja kuat, kerana Kuala Terengganu adalah maruah Umno," kata Sharifah Azizah.

Noorhasnita pula berkata, Wanita Kedah menetap dua wakil dari setiap bahagian untuk bertugas memantau dan berkempen sepanjang perjalanan pilihanraya kecil ini.

Katanya, 30 orang daripada keseluruhan 15 bahagian, ditugaskan untuk berkempen di DUN Wakaf Mempelam yang akan bertolak ke Kuala Terengganu petang ini.

ADS