Serangan udara dan darat tentera Israel yang masuk hari kesebelas hari ini menyaksikan jumlah penduduk awam yang terkorban meningkat kepada sekurang-kurangnya 548 orang.
Serangan ganas Israel semalam mengorbankan kira-kira 45 orang di Semenanjung Gaza. Manakala tiga tentera Israel dilaporkan terkorban dan 24 lagi cedera, selepas terkena tembakan kereta kebal tentera Israel sendiri.
Sementara itu Al-Jazeera pula melaporkan tentera Israel memperkuatkan jentera serangan mereka dan bergerak agresif untuk mengepung Gaza kerana dipercayai pemimpin Hamas berada di situ.
Letupan bom dan pertempuran sengit antara tentera Israel dan Hamas berlaku di sebuah bandar berhampiran dengan Shejaiya pada lewat malam Isnin dan berterusan sehingga awal pagi Selasa, mengikut waktu di sana.
Jet-jet pejuang dan helikopter penggempur Israel turut melancarkan serangan udara di bandar tersebut.
Seorang jurucakap kepada Briged al-Quds - satu sayap tentera pergerakan Jihad Islam Rakyat Palestin - mendakwa kereta-kereta kebal Israel berusaha untuk memasuki bandar Gaza.
Beliau mendakwa sayap tentera tersebut memberi tentangan sengit dan memusnahkan peralatan perang tentera Israel.
Pertempuran sengit turut dilaporkan berlaku di sebelah timur Jabaliya yang terletak di utara Gaza, terutama di kawasan tinggi di kawasan luar bandar Gaza, demikian menurut laporan agensi berita asing.
Letupan bom
Seorang pesara doktor di Semenanjung Gaza, Moussa el-Hadda berkata keseluruhan Gaza bergelap. Sebaliknya, percikan dan letupan bom dari pesawat pejuang F-16 dan helikopter Apache Israel menerangi kegelapan malam.
Menurut Moussa lagi, penduduk Gaza tidak berani keluar dari rumah kerana tidak mempunyai tempat perlindungan yang selamat.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak mendakwa tenteranya telah mengepung sebahagian daripada bandar Gaza.
Katanya, mereka bertempur sengit dengan tentera Hamas, tetapi setakat ini, mereka belum mencapai matlamat yang ditetapkan.
Dilaporkan ramai penduduk penduduk Semenanjung Gaza telah ditangkap dan Israel mendakwa mereka adalah sebahagian daripada pejuang Hamas.
Sementara itu, seorang pejuang Hamas, Mahmoud al-Zahar pula menyatakan keyakinan mereka untuk mencapai kemenangan dalam peperangan tersebut.
Beliau juga memberi amaran kepada tentera Israel bahawa mereka akan mendapat balasan setimpal kerana melancarkan perang terhadap pejuang Hamas dan penduduk Palestin.
Manakala Briged Izz-e-din al-Qassam turut mengingatkan tentera Israel bahawa mereka bersiap sedia untuk memberi tentangan sengit di Semananjung Gaza, menurut menurut laporan al-Jazeera.