Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dua calon pro-Aspirasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah membuat laporan polis berhubung SMS dan panggilan ugutan terhadap mereka dari "pihak yang tidak dikenali".

Bermula jam 1 pagi kelmarin, kesemua 25 calon pro-Aspirasi di UKM menerima SMS meminta mereka jangan bertanding dalam pilihanraya kampus UKM hari ini, kata salah seorang calon terbabit, Sarfarizmal Md Saad ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurutnya, SMS itu berbunyi: "Amaran kepada kamu agar tidak bertanding pada Khamis ini kerana kamu tidak layak menjadi pemimpin mahasiswa.

"Jika kamu engkar, kami tidak akan bertanggungjawab atas apa-apa yang berlaku kepada diri kamu, keluarga kamu dan rakan-rakan kamu yang merupakan anjing Umno."

sarfarizmal md saad campus election 150109 Sarfarizmal (foto) berkata, dua rakan calonnya itu membuat laporan itu kerana bimbangkan keselamatan diri mereka, keluarga dan rakan-rakan.

Kedua calon yang membuat laporan polis itu dikenali sebagai Norliana Azhar dan Nur Intan Zanariah.

Katanya, sejurus mendapat SMS itu, dua calon berkenaan membuat laporan itu di Balai Polis Bandar Baru Bangi dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pagi kelmarin.

Menurut Sarfarizmal lagi, laporan pertama dibuat kira-kira jam 3 pagi di Bandar Baru Bangi dan laporan kedua dibuat pada jam 3.30 di IPD Kajang.

Serah pada polis

Calon umum pro-Aspirasi di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) itu berkata, laporan dibuat bagi meminta pihak polis menjaga keselamatan mereka.

Menurutnya, laporan itu tidak menuduh mana-mana pihak, termasuk pihak lawan pro-Mahasiswa.

Sebaliknya, kata Sarfarizmal, mereka menyerahkan perkara itu sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasatnya.

Berhubung panggilan ugutan itu, Sarfarizal berkata, hanya empat orang yang menerima panggilan telefon, termasuk dirinya. Yang lainnya menerima SMS ugutan.

Setakat ini, tambah beliau, walaupun telah dua hari menerima SMS dan panggilan itu, mereka dan ahli keluarga mereka tidak mendapat sebarang gangguan.

Pilihanraya kampus di UKM hari ini mempertanding 23 kerusi fakulti dan 11 kerusi umum. Pengundian bermula jam 9.00 pagi tadi dan akan tamat jam 5.00 petang ini.

Keputannya pula dijangka dikeluarkan lewat malam ini apabila proses pengiraan undi selesai.

ADS