Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kekalahan pro-Mahasiswa di sebuah lagi universiti utama di Utara Semenanjung - Universiti Sains Malaysia (USM) - menimbulkan tanda tanya sama ada pengaruh kumpulan yang dilihat anti-establishment itu, semakin luntur.

Menurut keputusan rasmi yang diumumkan malam tadi, pilihanraya kampus universiti berkenaan, pro-Mahasiswa gagal mempertahankan dua daripada lima kerusi yang dimenangi tahun lalu.

Pilihanraya kampus USM membabitkan 29 kerusi pusat pengajian tinggi serta enam kerusi umum.

Kumpulan pro-Mahasiswa menang di tiga kerusi sahaja, selepas tewas mengejut di kubu kuat sendiri di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan.

Pusat itu mempertandingkan tiga kerusi. Sebuah lagi kerusi dimenangi musuh tradisi mereka, pro-Aspirasi yang cenderung kepada kerajaan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, jurucakap pro-Mahasiswa, Adi Syahid Mohd Ali berkata, kemenangan lawan mereka di pusat itu menimbulkan tandatanya.

Menurut beliau, seorang daripada dua calon mereka yang tewas hanya ketinggalan dua undi sahaja di belakang calon pro-Aspirasi.

Hantar surat aduan

Sehubungan itu, tambah Adi, pro-Mahasiswa telah menghantar surat aduan kepada Naib Canselor universiti berkenaan, Prof Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak berhubung perkara itu pagi tadi.

Semalam, kira-kira jam 10 pagi, Timbalan Naib Canselor (Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar), Prof Madya Omar Osman mengumumkan kejayaan besar pro-Aspirasi itu di Dewan Utama Pelajar di hadapan kira-kira 300 penyokong kedua-dua pihak yang berkumpul menunggu keputusan pemilihan.

Pro-Mahasiswa hanya menang tiga kerusi sahaja kali ini - satu kerusi umum dan dua kerusi fakulti. Kerusi selebihnya berjaya direbut pihak pro-Aspirasi.

Adi berkata, keputusan itu telah dijangkakan kerana kumpulan pro-Mahasiswa meletakkan sebelas calon sahaja.

Beliau berkata, tindakan itu diambil kerana mereka kurang yakin boleh berjaya selagi pilihanraya kampus masih menggunakan sistem lama dan tiada pemantau bebas daripada luar memerhatikan ketelusan perjalanan proses itu.

Pengundian bermula semalam dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), USM dibubarkan 7 Januari lalu untuk membolehkan pilihanraya kampus diadakan.

ADS