Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Majlis Tertinggi (MT) Umno disarankan supaya mengemaskini perlembagaan parti untuk memansuhkan pemilihan perwakilan dari Kumpulan Tujuh (G7) ke Perhimpunan Agung Umno bagi menangani politik wang serta percakaran di peringkat akar umbi.

"Mengemaskini perlembagaan atau peraturan adalah jalan terbaik untuk mengurangkan masalah tersebut, dan bukan menyalahkan sayap Umno sebagai punca utama politik wang berlelulasa," kata Ketua Pemuda Umno bahagian Pokok Sena, Haris Che Mat.

"Langkah itu wajar untuk mengurang masalah politik wang yang berlaku dan mengelakkan percakaran sesama ahli mereka untuk yang berebut untuk menjadi perwakilan," katanya.

Pada masa ini, setiap bahagian menghantar 13 perwakilan, iaitu tujuh perwakilan dari G7 - yang dipilih dalam mesyuarat bahagian - dan enam perwakilan daripada Kumpulan Enam (G6) yang terdiri dari

pada pemegang jawatan utama di peringkat bahagian.

Manakala bagi sayap parti - Pemuda, Wanita dan Puteri - ketua dan naib ketua masing-masing secara automatik menjadi perwakilan (G2) dan dua lagi dipilih dalam mesyuarat perwakilan mereka.

"Perwakilan hendaklah hanya di kalangan G6 dan ketua bahagian diberi kuasa untuk memilih seorang lagi perwakilan, begitu juga dengan sayap parti - Pemuda, Wanita dan Puteri.

"Sebagai contoh, bagi sayap pemuda - ketua dan naib ketua (G2) layak secara automatik menjadi perwakilan. Ketua Pemuda bahagian pula diberi kuasa untuk memilih seorang lagi perwakilan sama ada dari kalangan setiausaha, ketua penerangan atau bendaharinya," kata Haris ketika dihubungi Malaysiakini.

Dengan itu, jumlah perwakilan dari bahagian masih kekal 13 orang seperti sekarang.

Ini kerana, katanya, pemilihan perwakilan G7 setiap tahun akan mewujudkan kumpulan yang membawa kesan negatif kepada parti.

Kemaskini perlembagaan

"MT harus memikirkan ke arah ini bagi mengelakkan berlakunya 'team' dan secara tidak langsung akan mengurangkan 'politiking' setiap kali pemilihan setiap tahun," tambahnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kepada MT Umno agar mengemaskini perlembagaan atau peraturan parti demi kebaikan Umno.

"Percayalah, ahli parti dan rakyat sedang memerhatikan Umno sekarang. Ketika inilah pemimpin dinilai. Akar umbi harus diutamakan. Pemimpin hindarkan percakaran," katanya.

Mengulas mengenai politik wang berlaku dalam Umno, beliau mencadangkan agar Lembaga Displin Umno diberi ruang yang lebih untuk membanteras politk wang.

"Umno kena selesaikan masalah dalaman dengan memberi ruang yang lebih kepada Lembaga Displin Umno.

"Mungkin boleh diwujudkan lembaga displin Umno di negeri-negeri (untuk mantau masalah politik wang) setiap kali pemilihan untuk memilih perwakilan," katanya.

Tarik anak muda

Beliau juga meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya tidak memilih bulu dalam menyiasat pemimpin dari parti-parti lain yang didakwa turut mengamalkan politik wang.

"Kenapa perkara ini digembar-gemburkan dalam politik Umno (sahaja)?" soalnya.

Ditanya mengenai halatuju yang perlu dititikberatkan oleh Pemuda Umno, beliau berkata, pendekatan yang sesuai yang perllu dikenalpasti ialah untuk menarik anak-anak muda bersama-sama dengan Umno.

"Gerak kerja dan tumpuan (diberikan) selepas mendengar luahan ahli Umno dan rakyat. Kajian yang penuh teliti untuk memulihkan Umno.

"Permasalahan rakyat adalah permasalahan Pemuda Umno. Permasalahan golongan muda adalah permasalah Pemuda Umno," tambahnya.

Katanya, Pemuda Pokok Sena telah melancarkan program penambahan ahli Umno selama empat bulan mulai pertengahan Januari lalu untuk menarik golongan muda.

Tambahnya, program tersebut meliputi keseluruhan 93 cawangan di bahagian tersebut dengan mensasarkan sekurang-kurangnya lima anak muda menyertai pergerakan itu.

ADS