Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pulih kestabilan tugas utama MB baru
Diterbitkan:  Feb 6, 2009 5:18 PM
Dikemaskini: 9:35 AM

Menteri Besar Perak yang baru, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir berjanji untuk memberi keutamaan kepada usaha memulihkan kestabilan politik dan keharmonian di negeri itu dengan meningkatkan lagi hubungan antara kaum.

"Saya yakin dengan kematangan rakyat Perak, dan saya lihat mereka mampu mencapai satu peringkat persefahaman politik yang begitu baik berteraskan kehidupan rakyat pelbagai kaum," katanya di Kuala Kangsar.

dr zambry abd kadir perak new cm bn 050209 Zambry, 47, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, petang ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-11 di hadapan Sultan Perak Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, lapor Bernama.

Graduan bidang ekonomi, politik dan pemikiran Islam itu, berkata beliau yakin rakyat Perak sendiri ingin melihat suasana poltik yang stabil kerana jika ketidakstabilan politik berpanjangan, ianya tidak akan mendatangkan kebaikan kepada semua.

Zambry, anak kelahiran Pulau Pangkor yang menjadi anggota exco kerajaan negeri Perak selama satu penggal dari tahun 2004 hingga 2008, juga berkata dalam keadaan suasana politik apa sekalipun "dengan riuh rendahnya serta jatuh bangunnya, kita dapat mengawalnya bagi memastikan kestabilan wujud di negeri ini".

Mengenai keengganan kerajaan Pakatan Rakyat melepaskan kuasa walaupun telah dititahkan oleh Sultan Perak semalam, Zambry berkata:

"Saya yakin rakan-rakan saya di pihak pembangkang memahami asas Perlembagaan, termasuklah hal ehwal yang berkaitan kuasa untuk melantik MB, kuasa untuk membubarkan DUN terletak di bawah bidang kuasa Sultan."

Katanya beliau akan bersikap terbuka dan sedia mendengar teguran dan pandangan, dan akan meneruskan apa yang perlu dalam mentadbir negeri itu.

"Saya masih lagi seorang manusia biasa yang dipertanggungjawabkan dengan satu tugas besar untuk kembalikan keharmonian," katanya.

ADS