Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
9 didakwa sertai perhimpunan haram di Kuala Kangsar
Diterbitkan:  Feb 11, 2009 4:41 PM
Dikemaskini: 8:42 AM

Sembilan orang dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini atas tuduhan menyertai perhimpunan haram di Jalan Istana, Bukit Chandan pada 6 Februari lalu semasa upacara pelantikan dan angkat sumpah Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir.

Kesemua mereka, termasuk seorang lelaki warganegara Indonesia,

Idris Mhd Thaib hari ini mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan tersebut dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Idris, 34, pekerja ladang dari Padang Changkat, Kuala Kangsar bersama lapan lelaki yang lain, didakwa telah melakukan kesalahan itu antara jam 2.30 petang dan 3.30 petang Jumaat lalu yang boleh dihukum mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau didenda atau kedua-duanya, lapor Bernama.

Lelaki warga tempatan yang lain iaitu Meor Safizal Meor Mohamad Amin, 34, dari Jalan Kampung Tawas, Ipoh; Mohd Faiz Mohd Arshad, 22, dari Changkat Tin, Tanjung Tualang; Zulhaizam Zulkifli, 25, dari Jalan Simpang, Taiping; Isha Riduan Ishak, 55, dari Taman Fasa 2A, Seri Manjung dan Bad Latif Mansor, 43, dari Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor.

Yang lainnya ialah Adi Hilme Mohd Nasir, 40, dari Taman Perpaduan, Hulu Kinta; Yusoff Jaafar, 44, dari Surau Muhamadiah, Kuala Kangsar dan Mohamad

Isamail S.M Abdul Kadir, 43, dari Taman Merchu Indah, Kuala Kangsar.

Kesemua sembilan lelaki berkenaan turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu mengingkari perintah polis untuk bersurai pada tarikh, masa dan tempat yang sama yang merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 27 (4) Akta Polis 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 27 (8) akta sama yang membawa hukuman denda tidak kurang RM2,000 dan tidak lebih RM10,000 dan penjara tidak melebihi satu tahun, jika disabit kesalahan.

Hakim Norsalha membenarkan semua lelaki tempatan itu diikat jamin RM4,000 dengan dua orang penjamin manakala lelaki warga Indonesia itu pula dibenar diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 13 hingga 17 April depan bagi membicarakan kes tersebut.

Norsalha juga menetapkan bahawa kesemua lelaki warga tempatan berkenaan ditegah daripada menyertai sebarang perhimpunan haram lain manakala Idris pula perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga tamat perbicaraan sebagai syarat tambahan untuk jaminan mereka.

Kesemua tertuduh menjelaskan bayaran ikat jamin masing-masing.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwaraya Othman Abdullah dan Hamdan Hamzah manakala peguam Augustine Anthony, Aminuddin Zulkifli, Charan Singh, Mohd Fathi Md Zain dan Yusnita Yusuf mewakili kesemua tertuduh.

ADS