Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Adun PKR Pelabuhan Klang nafi keluar parti
Diterbitkan:  Feb 12, 2009 7:49 PM
Dikemaskini: Feb 13, 2009 6:58 AM

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah hari ini menafikan beliau telah keluar daripada Pakatan Rakyat sebagaimana digembar-gemburkan oleh pihak tertentu baru-baru ini.

Beliau berkata khabar angin yang disebarkan oleh pihak-pihak tertentu itu merupakan helah mereka bagi menimbulkan kekeliruan dalam Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

"Saya masih menjalankan tugas sebagai ADUN Pelabuhan Klang seperti biasa. Komitmen saya masih teguh dan tidak berbelah bagi kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kepimpinan Pakatan Rakyat keseluruhannya khususnya di negeri Selangor," katanya dalam satu sidang akhbar hari ini, lapor Bernama.

Badrul berkata beliau telah berjumpa dengan pucuk pimpinan parti dan telah menjelaskan semua isu-isu yang ditimbulkan ke atasnya selama ini.

"Saya akan cuba memperbaiki segala kelemahan-kelemahan yang telah diutarakan dan komited untuk terus berkhdmat kepada rakyat," katanya.

Ketika menjawab mengenai dakwaan bahawa beliau seolah-olah "hilang" sejak kebelakangan ini dan sukar dihubungi atau ditemui oleh masyarakat di kawasan beliau, Badrul berkata:"Saya dekat kawasan saya."

Katanya beliau berada di pejabatnya setiap hari dan kadang-kadang melebihi waktu pejabat iaitu pukul 5 petang.

Apabila ditanya dakwaan beliau tidak mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri dan kononnya beliau terlibat dengan kes khalwat, Badrul berkata: "Tak ada... saya tidak buat benda itu."

Ditanya sama ada beliau pernah ditawarkan untuk melompat parti, Badrul berkata tiada tawaran yang diberikan kepadanya dan beliau tidak terfikir pun untuk berbuat demikian.

[VIDEO:16688]

ADS