| Mengapa BA harus boikot p'raya kecil Batu Talam... |
Amin Iskandar
Jan 15, 07
1:01pm |
Umum sudah mengetahui bahawa proses pilihanraya di Malaysia sering dipertikaikan dari segi kebebasannya dan ketelusannya. Banyak sebab yang telah menjadikan proses pilihanraya di Malaysia dipertikaikan dan dikritik, baik oleh masyarakat di peringkat nasional mahupun di peringkat antarabangsa.
Keadaan menjadi tambah gawat apabila baru-baru Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengatakan, peraturan pilihanraya di Malaysia perlu dikaji semula kerana ia sudah terlalu lama dan sudah tidak sesuai dengan negara yang sudah menggunakan undang-undang itu selama 50 tahun.
Abdul Rashid juga menyatakan SPR perlu diberi lebih kuasa agar dapat menjalankan pilihanraya secara bebas, telus dan adil. Kenyataan Abdul Rashid itu dilihat sebagai mengesahkan bahawa pilihanraya di Malaysia selama ini tidak dijalankan secara bebas, telus dan adil.
Walau apapun niat di Abdul Rashid, tetapi masyarakat umum kini telah jelas bahawa selagi undang-undang pilihanraya tidak direformasikan, selagi SPR tidak bebas dari cengkaman pemerintah, maka pilihanraya di Malaysia tidak akan berjalan dengan bebas, telus dan adil.
Selain dari faktor SPR, kita juga jangan lupa tentang faktor-faktor lain yang penting dalam sesuatu proses pilihanraya seperti faktor media. Di Malaysia semua media arus perdana dikuasai parti pemerintah. Maka di musim pilihanaraya, media-media arus perdana akan memainkan peranan sebagai jentera kempen parti pemerintah.
Liputan baik dalam media cetak dan elektronik yang diberikan terhadap calon parti pembangkang terlalu sedikit. Malah, media arus perdana memainkan peranan untuk membelasah calon pembangkang.
Anti-demokrasi
Parti politik seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih belum mendapat lesen untuk menerbitkan akhbar mereka sendiri. Akhbar Harakah milik parti PAS pula telah dihadkan pengeluarannya dari seminggu sekali kepada dua kali sebulan. Maka, apakah padang permainannya sama rata?
Itu belum lagi diambil kira undang-undang anti-demokrasi seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), Akta Penerbitan dan Mesin Cetak dan banyak lagi yang tidak akan memungkinkan masyarakat, baik masyarakat umum atau mahasiswa untuk terlibat secara demokratik.
Dari segi sejarah, pada sekitar tahun 1960-an, kita dapat menyaksikan calon Barisan Sosialis telah ditangkap beramai-ramai di bawah ISA yang menyaksikan pemboikotan pilihanraya pada ketika itu. Dan selagi adanya undang-undang yang anti-demokrasi itu, maka tidak mustahil ia akan digunakan jika pakatan pembangkang menjadi lebih kuat.
Tuntutan agar SPR menggunakan dakwat hitam untuk dicelupkan ke jari pegundi yang telah mengundi untuk mengelak pengundian berulang, juga tidak pernah dilayan, walaupun telah berulangkali didesak oleh parti pembangkang.
Banyak nagara yang mengamalkan amalan mencelup jari ke dakwat hitam untuk mengelak pengundian berulang seperti India, Indonesia, Thailand, Afghanistan dan Sri Lanka. Amalan ini telah diterima sebagai salah satu komponen penting untuk memastikan pegundian berulang dan masalah pengundi hantu tidak timbul.
Politik wang atau pembelian undi adalah salah satu faktor yang telah lama mencemar imej pilihanraya di Malaysia. Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan rakyat supaya berani melaporkan jika berlaku amalan politik wang dalam pilihanraya kecil di Batu Talam.
Mangsa pilihanraya
Bayangkanlah, jika seorang bekas Perdana Menteri yang telah berkuasa selama 22 tahun juga curiga dengan amalan pilihanraya di negaranya, apatah lagi parti pembangkang yang sering menjadi mangsa penipuan pilihanraya?
Dan satu lagi yang masih tidak ada di Malaysia ialah kebenaran untuk badan bebas antarabangsa memantau perjalanan proses pilihanraya. Telah menjadi amalan di negara-negara demokratik untuk membenarkan badan bebas asing memantau pilihanraya di negara mereka.
Contohnya di Indonesia, KPU (Komittee Pemilihan Umum), badan bebas yang mengendalikan pilihanraya, memberi akreditasi kepada pemantau asing untuk memantau pilihanraya di Indonesia.
Tetapi ini tidak berlaku di Malaysia. Biasanya pemantau asing tidak akan dilayan dan tidak akan diberikan akreditasi seperti apa yang berlaku pada pilihanraya umum 1999 dan 2004. Mengapa SPR dan kerajaan Malaysia takut untuk membenarkan kehadiran pemantau asing jika pilihanraya dijalankan dengan bebas, jujur dan adil?
Oleh itu, saya berpendapat wajarlah Barisan Alternatif (BA) memboikot pilihanraya kecil Batu Talam kerana selagi faktor-faktor seperti yang saya nyatakan di atas masih tidak berubah, maka tiada guna pembangkang bertanding.
Jadi saya ucapkan tahniah kepada BA kerana berani mengambil tindakan ini dan sedar yang mereka tidak seharusnya selalu diperbodohkan. Kita mahukan pilihanraya yang benar-benar bebas, telus dan adil.
Amin Iskandar pernah terlibat dalam siri pemantauan pilihanraya antarabangsa di Afghanistan, Indonesia, Sri Lanka dan Thailand.
|
|
Berita Terkini dalam SMS
Maxis users
- Taip SMS "BUY MKINIM" dan hantar ke "26000" (caj bulanan RM 5.00)
- Taip "BUY WMKINIM" dan hantar ke "26000" (caj mingguan RM 1.50)
Umobile users
- Taip "ON NW MKINIBM" dan hantar ke "28118" (caj bulanan RM 5.00)
|
 |
| |
|
|
|