Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Pemain import T-Team selesa berpuasa di Malaysia

Pemain import T-Team dari Uzbekistan berasa selesa berpuasa di Malaysia.

Pemain penyerang Farhod Tadjiyev dan pemain tengah Sadriddin Abdullaev berkata di Uzbekistan, mereka terpaksa menahan lapar selama 19 jam berbanding di negara ini.

Farhod, 29, berkata jarak waktu berpuasa di Malaysia adalah lebih ideal berbanding di negaranya yang rata-rata bersahur sekitar jam 3 pagi sebelum berbuka sekitar 9 malam.

"Namun cabarannya masih sama iaitu cuaca yang agak panas biarpun negara kami mempunyai empat musim," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata Malaysia adalah negara bertuah kerana rakyatnya yang berbilang kaum hidup aman damai.

"Yang menariknya di Malaysia, saya dapat lihat banyak juadah dan lauk menarik di bazar Ramadan," katanya.

Beliau berkata beliau dan isterinya Dilia pertama kali berpuasa di Malaysia dan sudah mulai menyukai suasananya.

Bagi Sadriddin, 29, pula, beliau sekeluarga telah menyelami tradisi masyarakat di sini dan gembira dapat berpuasa dan berbuka bersama rakan-rakan yang lain.

Bapa kepada empat cahaya mata ini berkata walaupun beliau tidak dapat berpuasa bersama anggota keluarga yang lain di negaranya seperti sebelum ini, namun kehadiran rakan-rakan sepasukan, anak dan isterinya dapat mengubat kerinduan kepada keluarganya di Uzbekistan.

"Saya akui rindukan makanan tradisional negara saya, namun hati saya terubat kerana saya dapati negara ini mempunyai juadah masakan pelbagai jenis termasuklah dari timur tengah.

"Biarpun persekitaran dan masa berpuasa agak berbeza, namun kami tetap berusaha untuk terus menampilkan aksi yang terbaik bagi membolehkan T-Team terus berada pada kedudukan terbaik," katanya.

Farhod dan Sadriddin masih merupakan pemain kebangsaan negara mereka dan sebelum ini merupakan pemain Lokomotiv Tashkent.    

    

- Bernama

Lihat Komen
ADS