Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Pasukan Malaysia perlu memastikan kedudukan tempat kelima di kejohanan Liga Hoki Dunia menjadi milik negara bagi mendapatkan tiket ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata harapan masih ada buat skuad negara untuk layak walaupun tumpas 2-3 kepada India pada perlawanan suku akhir kejohanan berkenaan di Stadium KHC Dragons di Antwerp, Belgium, awal pagi semalam waktu Malaysia.

"Kita tiada pilihan, perlu menang perlawanan seterusnya untuk mendapat tempat kelima," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Reebok Spartan Race, di sini, Khamis.

Pada masa sama, katanya, Institut Sukan Negara (ISN) perlu memberi perhatian kepada tahap kecergasan pemain memandangkan pada perlawanan sebelum ini mereka dilihat kurang cergas apabila aksi memasuki suku keempat perlawanan.

"Saya lihat dalam perlawanan dengan Belgium, Britain dan India, hampir semua kekalahan itu hadir pada suku terakhir. Perlawanan dengan India sepatutnya boleh menang kerana lawan tidak membawa beberapa pemain utama mereka," katanya.

Mengenai skuad bola sepak bawah 13 tahun (B-13) Malaysia di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang muncul juara Kejohanan Remaja Piala Iber Costa del Sol di Sepanyol minggu lepas, Khairy percaya ia mampu membuka mata masyarakat terhadap NFDP.

Katanya sebelum ini sokongan terhadap NFDP agak dingin berikutan kurangnya kesedaran masyarakat terhadap program itu.

"Sokongan ini perlu sebab bila lebih ramai memahami NFDP ini, ia bakal membentuk satu ekosistem yang positif dan mungkin lebih ramai ibu bapa akan menghantar anak mereka untuk uji bakat menyertai akademi NFDP," katanya.

Yakin kepada Frost

Skuad kendalian Lim Teong Kim yang tidak meletakkan sebarang sasaran pada kejohanan itu, mengalahkan pasukan B-13 Akademi Bola Sepak dari Portugal, Sporting Lisbon, 2-1 pada aksi final di Kompleks Sukan Munoz Perez, Marbella, Sepanyol.

Sementara itu, mengenai pencapaian Morten Frost Hansen setelah genap 100 hari dilantik sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Khairy berkata beliau telah melaksanakan tugas dengan baik terutama dalam menggilap bakat muda negara.

"Saya tahu di peringkat awal ada beberapa halangan yang dihadapinya tetapi jika dilihat pada Sukan Sea, paling menonjol dalam perancangannya adalah keyakinannya kepada pemain muda.

"Kita boleh katakan Morten sudah memikirkan badminton negara mengatasi kebergantungan kita kepada (Datuk Lee) Chong Wei," kata Khairy.

Frost, juara kejohanan Seluruh England empat kali di zaman kemuncaknya sebagai pemain dan turut digelar 'Mr Badminton', menyertai BAM pada Mac lepas dan kontraknya adalah sehingga 31 Dis 2020.

- Bernama

Lihat Komen
ADS