Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Liga Perdana: Rentak menang T-Team tak panjang

Pendahulu Liga Perdana, T-Team gagal meneruskan rentak kemenangan setelah sekadar seri 1-1 menentang Pulau Pinang pada aksi di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, malam tadi.

Keputusan seri yang diraih T-Team bagaimanapun tidak menggugat kedudukan mereka di puncak liga dengan kutipan 33 mata, berkelebihan dua mata ke atas Kedah yang meraih kemenangan di laman sendiri.

Pada aksi di Stadium Bandaraya, penyerang import dari Brazil, Hilton Mauro Moreira meletakkan skuad Harimau Kumbang di hadapan pada minit ke-23 menerusi sepakan bebas menarik dari jarak 25 meter.

T-Team bagaimanapun tidak mengalah dan berjaya menyamakan kedudukan, selang lapan minit kemudian menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh pemain import dari Uzbekistan, Farhod Tadjiev.

Terdahulu, Pulau Pinang terpaksa beraksi dengan 10 orang setelah pemainnya, Farid Ramli menerima kad merah pada minit ke-21 daripada pengadil kerana dikatakan menampar pemain pasukan pelawat, Josip Milardovic.

Beraksi dengan 10 pemain

Kedah pula memintas kedudukan Pulau Pinang di tangga kedua liga hasil kemenangan tipis 3-2 ke atas wakil kelab dari Pahang, Kuantan FA di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Tiga gol skuad 'Helang Merah' dijaringkan oleh Mohd Syafiq Ahmad pada minit ke-13 dan 16' serta gol Liridon Krasniqi pada minit ke-57 manakala pasukan pelawat meraih jaringan menerusi sepakan penalti Mohd Zamri Hassan pada minit ke-73 dan jaringan Fabrice Noel, selang enam minit kemudian.

Kuantan FA terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada penghujung babak perlawanan setelah pemainnya, Muszaki Abu Bakar menerima kad kuning kedua.

Turut meraih tiga mata penuh adalah pasukan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) yang mengalahkan wakil kelab Lembah Klang, SPA Putrajaya FC 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Baharu hasil jaringan tunggal Mohd Irfan Fazail pada minit ke-85.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pasukan Negeri Sembilan yang dikenali sebagai NS Matrix musim ini, terpaksa bangkit sebanyak dua kali sebelum mengikat kelab UiTM FC 2-2.

Pasukan pelawat selesa mendahului NS Matrix 2-0 menerusi sepakan penalti oleh Dao Bakary pada minit ke-20 dan gol Abdi Kasim Sadallah, selang lima minit kemudian.

Pasukan tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan pada penghujung babak kedua perlawanan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Francis Forkey Doe pada minit ke-82 dan gol Rezal Zambery Yahya, selang empat minit kemudian.

Pasukan kelab, DRB Hicom FC pula melakar kejutan selepas mengalahkan Sabah 2-1 pada aksi di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Mereka meraih jaringan menerusi Ivan Babic pada minit kelapan dan Muhammad Fakhrul Aiman Sidid pada minit ke-33 sebelum El Hadji Diouf mengurangkan defisit jaringan untuk Sabah setelah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-63.

- Bernama

Lihat Komen
ADS