Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Kompang, sorakan sambut The Reds di Malaysia

Kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris,  Liverpool atau lebih dikenali sebagai The Reds yang tiba di Saujana Hotel Resort, Subang malam tadi mendapat sambutan selamat datang gaya Malaysia daripada peminat tempatan.

The Reds tiba di hotel itu pada pukul 9 malam disambut paluan kompang, kalungan bunga dan sorakan You'll Never Walk Alone serta nyanyian lagu kelab daripada kira-kira 100 penyokong setia mereka.

Liverpool dijangka menurunkan kesebelasan utamanya ketika menentang skuad pilihan Dollah Salleh pada Jumaat ini di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam perlawanan persahabatan antarabangsa.

"Kami (peminat) mahu mengambil peluang ini untuk melihat pemain secara dekat dan menyaksikan permainan mereka secara langsung di negara kami sendiri.  Saya harap mereka akan menikmati makanan di sini dan walau apa pun kami akan tetap menyokong mereka," kata seorang peminat tegar Mohd Aizad Hassan.

Sementara itu, seroang lagi peminat S Puvarasan berkata dia dan rakannya amat teruja dengan ketibaan Liverpool dan tidak sabar untuk menyaksikan perlawanan Jumaat ini.

"Kami menunggu di sini selama lima jam untuk melihat dari dekat pemain dan gembira kerana akhirnya dapat berjumpa mereka. Untuk (Steven) Gerard kami akan merinduinya tetapi kami yakin akan ada Gerrard yang lain tidak lama lagi di Anfield," kata peminat berusia 29 tahun itu.

Satu sidang akhbar dijadualkan esok di resort berkenaan sementara sesi latihan rasmi dijadualkan Khamis di Stadium Nasional.

Selain itu, pasukan yang dibarisi bintang bola sepak itu dijadual terlibat dalam pelbagai aktiviti dengan peminat tempatan sepanjang kehadiran mereka di Malaysia.

The Reds memulakan jelajah pramusim mereka dengan menewaskan Thai All Stars 4-0 di Bangkok pada 14 Julai lepas sebelum menewaskan pasukan A-League, Brisbane Roar 2-1 Jumaat lepas dan kemenangan 2-0 ke atas Adelaide United, di Australia  semalam.

Kelab Inggeris itu akan meneruskan jelajah ke Eropah Utara untuk perlawanan terakhir pramusim mereka menentang pasukan Finland, HJK Helsinki pada 1 Ogos di Stadium Sonera, Helsinki yang boleh memuatkan 10,770 penonton.

Tiket perlawanan Pilihan Malaysia menentang Liverpool dijual pada harga RM58 (pelajar), RM88, RM158 dan RM228 dengan jumlah tempat duduk VIP yang terhad pada harga RM428 dan RM328.

Tiket kini boleh dibeli secara dalam talian di ticketpro.com.my, talian hotline +603-7880-7999, cawangan Ticketpro selain cawangan New Balance and Sports Empire.   

- Bernama

Lihat Komen
ADS