Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Kelantan seri, gagal manfaat di laman sendiri

Kelantan gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri 2-2 menentang pasukan tercorot, Sime Darby FC pada aksi tunggal Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di Kota Bharu, malam tadi.

    

Keputusan itu menyaksikan Kelantan kekal di kedudukan kesembilan dalam carta Liga Super selepas mengutip 15 mata daripada 14 perlawanan, manakala Sime Darby FC terus menghuni tangga terbawah liga dengan kutipan lima mata.

    

Pada aksi malam ini, Kelantan membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi Amiridzwan Taj Tajudin yang menolak masuk bola hasil hantaran Wan Zack Haikal Wan Nor.

    

Pasukan tuan rumah yang mendapat jolokan 'The Reds Warriors' (TRW) hampir menambah jaringan pada minit ke-17, namun sepakan gunting Erwin Carillo berjaya diselamatkan penjaga gol Sime Darby FC, Redzuan Harun.

    

Pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-24 apabila Nemanja Vidakovic mudah menanduk masuk bola menerusi hantaran Marko Perovic dan keputusan seri 1-1 itu kekal sehingga tamat babak pertama perlawanan.

Bersambung babak kedua permainan, Sime Darby FC berjaya mendahului pasukan Kelantan menerusi jaringan Reinaldo Da Costa pada minit ke-50.

    

Penyerang import dari Brazil, Gilmar Da Silva menyelamatkan maruah pasukan tuan rumah apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-72, bagi memastikan mereka meraih sekurang-kurangnya satu mata.

    

Kelantan dijadual berdepan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi ke-15 Liga Super di laman sendiri, Selasa ini.

    

Kedua-dua perlawanan berkenaan yang sepatutnya diadakan pada bulan Ramadan lepas, terpaksa ditunda berikutan kerajaan Kelantan menggunakan perkarangan stadium untuk program Madinah Ramadan.

    

-Bernama

Lihat Komen
ADS