Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kelantan memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila membelasah pasukan bawahan liga, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 5-1 pada aksi tunggal Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di Kota Bharu malam tadi.

Kemenangan kelima yang diraih musim itu menyaksikan Kelantan mengumpul 18 mata, namun kekal di tangga kesembilan carta Liga Super.

Pada aksi itu Kelantan membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi pemain import dari Colombia, Erwin Carillo yang memanfaatkan hantaran daripada Gilmar Da Silva.

Kegembiraan pasukan tuan rumah tidak bertahan lama apabila pemain sayap ATM, Venice Elphi menyamakan kedudukan, selang lima minit kemudian menerusi rembatan kencang untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Khairul Fahmi Che Mat.

Namun, Kelantan kembali bangkit meledak dua jaringan, masing-masing menerusi Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-38 dan Mohd Norfarhan Muhammad, selang empat minit kemudian.

Keputusan 3-1 itu kekal sehingga berakhir babak pertama perlawanan.

Bersambung separuh masa kedua, ATM terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah pemain pertahanan, Nor Fadly Alias diperintahkan keluar padang oleh pengadil, Mohd Amirul Izwan Yaakob selepas mengutip kad kuning kedua.

Kesempatan berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pasukan Kelantan yang menambah dua lagi jaringan menerusi Erwin Carillo pada minit ke-64 dan pemain gantian, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit ke-74.

Perlawanan berkenaan yang sepatutnya diadakan pada bulan Ramadan lepas, terpaksa ditunda ke hari ini, berikutan kerajaan Kelantan menggunakan perkarangan stadium untuk program Madinah Ramadan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS